PERMOHONAN dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan jenayah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah berdasarkan alasan yang kukuh, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Berdasarkan laporan media yang tindakan AGC menarik balik pertuduhan terhadap Zahid adalah tidak bermoral, jabatan ingin menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan alasan yang diberikan, dan diterima mahkamah.
“Ketika membuat keputusan, hakim yang mulia menyatakan alasan diberikan oleh pihak pendakwaan adalah munasabah,” kata AGC dalam satu kenyataan ringkas petang ini.
Kenyataan itu dibuat selepas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan sama ada pendakwaan menerima arahan daripada “pihak atasan” untuk membebaskan Zahid daripada kes rasuahnya.
Muhyiddin berkata jika benar ada arahan sedemikian, maka menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid, selepas beliau diperintahkan membela diri, adalah titik hitam dalam sistem keadilan negara.
“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah,” kata Muhyiddin di Facebook.
“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai?
“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini.”
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan dalam perbicaraan rasuahnya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat untuk membenarkan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi menambah kes itu masih terbuka. – Bernama, 5 September, 2023.
Komen