MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu pemberian dana RM10 juta oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi (YAB) kepada Armada Holdings Sdn Bhd untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan pelaburan.
Ahli perniagaan Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 64, berkata wang RM10 juta itu juga dikembalikan berserta faedah sebanyak RM69,722.65 kepada yayasan tersebut dan yayasan berkenaan tidak mengalami apa-apa kerugian serta memperoleh keuntungan yang sama atau sepatutnya.
Khalid bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa dana itu adalah satu pinjaman dan beliau (Khalid) tidak pernah terlintas untuk menolak pelawaan Ahmad Zahid untuk membantu memberikan dana RM10 juta.
Disoal lanjut adakah saksi itu tidak terfikir bagaimana Ahmad Zahid mendapatkan dana berkenaan (RM10 juta), Khalid yang mengenali timbalan perdana menteri itu hampir 30 tahun sejak bertugas sebagai pengurus bahagian pinjaman di bank Bumiputra (kini bank CIMB) berkata Ahmad Zahid adalah seorang tokoh korporat, usahawan, bekas ahli perbankan selain mempunyai sumber kewangan yang pelbagai.
“Tempoh kenalan yang lama itu membuatkan saya rapat dengan Zahid dan mengenali sifat dan karakter beliau. Antara sifat beliau yang saya ketahui adalah beliau seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu apabila seseorang memerlukan bantuan,” kata saksi pembelaan kelapan itu.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan membela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.
Ketika membacakan penyataan saksinya Khalid berkata disebabkan agak rapat dengan Ahmad Zahid beliau juga pernah melakukan beberapa aktiviti sosial bersama antaranya beliau bersama isteri Siti Nurhaliza Tarudin pernah beberapa kali menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci bersama Ahmad Zahid dan isteri Hamidah Khamis.
Menceritakan mengenai pemberian dana RM10 juta kepada Armada Holdings, Khalid berkata sekitar 2015, rakannya iaitu Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr yang juga saksi pendakwaan ke-21 bertemu dengannya dan memaklumkan beliau (Wasi Khan) berhasrat untuk menubuhkan satu syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.
Menurut Khalid syarikat berkenaan (Armada) memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum bagi didaftarkan sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah TNB.
“Wasi Khan tahu saya merupakan seorang kenalan rapat kepada Zahid dan beliau (Wasi Khan) meminta bantuan saya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Zahid. Saya bersetuju dengan permintaan Wasi Khan dan menguruskan satu perjumpaan di antara kami berdua bersama Zahid di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya,” katanya.
Khalid berkata dalam pertemuan tersebut Wasi Khan menyatakan hasratnya kepada Ahmad Zahid dan meminta campur tangan Ahmad Zahid untuk meminta pihak TNB supaya dapat mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja.
“Namun Zahid memaklumkan beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia di luar bidang kuasa dan menjadi satu kesalahan sekiranya beliau campur tangan dalam urusan dan polisi yang ditetapkan oleh TNB.
“Saya seterusnya memaklumkan kepada Zahid berkenaan kredibiliti, latar belakang dan penglibatan Wasi Khan dalam bidang perniagaan. Zahid percaya saya tidak akan membawa individu sembarangan untuk berjumpa dengan Zahid melainkan saya yakin dengan kebolehpercayaan individu tersebut,” katanya yang mengenali Wasi Khan selama 20 tahun.
Katanya dalam fahamannya wang RM10 juta yang diberikan oleh Ahmad Zahid kepada Wasi Khan adalah masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang tersebut, walaupun ia tidak disebut oleh Ahmad Zahid ketika pertemuan di antara mereka bertiga.
“Saya juga mengetahui Zahid merupakan bekas ahli perbankan dan mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini. Jumlah RM10 juta adalah bertujuan semata-mata untuk membolehkan syarikat Armada Holdings layak untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang dipercayai akan memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan lain,” katanya.
Beliau berkata pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju untuk terlibat dengan membantu menyediakan dana sebanyak RM10 juta dan selepas menerima dana itu, Wasi Khan menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar berjumlah RM10 juta dan beliau juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama, 21 Ogos, 2023.
Komen