PERBICARAAN kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi (YAB) kini dijadualkan semula pada April.
Terdahulu, ketua pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bersetuju mengenai tarikh perbicaraan tambahan.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan.
Tarikh perbicaraan baharu ialah 10 April hingga 13 April; dan 15 Mei hingga 18 Mei; 12 hingga 15 Jun; 24 hingga 27 Julai; 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10, dan 21 hingga 24 Ogos.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri hadir di mahkamah hari ini.
Sebelum ini, perbicaraan Zahid dijadualkan berlangsung dari 16 Januari hingga 19 Januari, tetapi hari ini dijadualkan semula untuk sebutan kes.
Presiden Umno itu adalah menteri kanan pertama yang duduk di kandang tertuduh berdepan pelbagai pertuduhan rasuah membabitkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.
Selain Raja Rozela, peguam Hisyam Teh Poh Teik turut mewakili tertuduh.
Pada 2 November tahun lalu, Hisyam memohon mahkamah mengosongkan perbicaraan pada bulan itu sementara menunggu rayuan anak guamnya di Mahkamah Rayuan.
Rayuan itu adalah atas permohonan Zahid untuk mendapatkan keterangan direkodkan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang terlibat dalam perbicaraan kesnya.
Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah dan baki 27 untuk pengubahan wang haram. – 16 Januari, 2023.
Komen