Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan 47 pertuduhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 4 September, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pasukan pendakwaan yang memohon untuk memberhentikan semua prosiding ke atas tertuduh bagi memberi laluan siasatan terperinci dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mahkamah memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh ke atas semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana. Saya ingin memasukkan dalam rekod, meskipun Peguam Negara mempunyai kuasa di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk menghentikan prosiding pada bila-bila masa, sebelum keputusan dibacakan.

“Tetapi, di masa akan datang pasukan pendakwaan perlu memastikan keputusan untuk hentikan prosiding dibuat selepas mengambil kira masa berharga mahkamah dan wang rakyat yang membayar cukai,” katanya.

Menurut Collin, SPRM masih menyiasat kes itu selepas Zahid membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata DNAA memandangkan suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk untuk meneliti tuntutan dalam memoir kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas, terutamanya mengenai dakwaan pendakwaan terpilih.

“Representasi adalah kira-kira 200 muka surat dan adalah wajar untuk pemeriksaan lanjut dijalankan,” kata hakim.

Selain itu katanya, 77 hari perbicaraan diadakan dan 114 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk 99 saksi pendakwaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberhentikan prosiding terhadap timbalan perdana menteri untuk agensi antirasuah menjalankan siasatan terperinci ke atas keterangan saksi.

Pihak pembelaan Zahid bagaimanapun meminta mahkamah membebaskan beliau daripada semua tuduhan.

Ketua pasukan pendakwaan Mohd Dusuki Mokhtar memohon Zahid dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dengan mengemukakan 11 alasan, termasuk siasatan terperinci ke atas keterangan saksi.

“Setelah pihak pembelaan memanggil 15 saksi termasuklah tertuduh sendiri, kami berpendapat bahawa keterangan saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan juga pihak penyiasat.

“Oleh itu, kami pasukan pendakwaan ingin memohon kepada hakim untuk memberhentikan prosiding terhadap tertuduh dan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga siasatan terperinci kes ini dijalankan oleh SPRM,” katanya di Mahkamah Tinggi.

Dusuki berkata susulan beberapa surat representasi Zahid kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 20 Januari, 2023 memaklumkan pihaknya siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh perlu dibuat.

Representasi Zahid menyentuh siasatan terhadapnya sebelum, semasa dan selepas dituduh di mahkamah yang beliau dakwa dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap.

“Perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini adalah institusi undang-undang yang diperalatkan pihak tertentu.

“Untuk tidak menafikan hak tertuduh dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, kami percaya pertuduhan terhadapnya perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan DNAA kepada OKT sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Collin memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding ditetapkan pada 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20, 31 Oktober dan 1 hingga 3, 7 hingga 10 November ini.

Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari, 2014 dan 11 Januari, 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku menteri dalam negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen