Pendakwaan mohon hentikan perbicaraan 47 kes Zahid


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 September, 2023.

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan 47 kes terhadap Ahmad Zahid Hamidi memohon mahkamah memberhentikan prosiding terhadap timbalan perdana menteri untuk agensi antirasuah menjalankan siasatan terperinci ke atas keterangan saksi.

Pihak pembelaan Ahmad Zahid bagaimanapun meminta mahkamah membebaskan beliau daripada semua tuduhan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding pagi ini untuk membuat keputusan.

Ketua pasukan pendakwaan Mohd Dusuki Mokhtar memohon Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dengan mengemukakan 11 alasan, termasuk siasatan terperinci ke atas keterangan saksi.

“Setelah pihak pembelaan memanggil 15 orang saksi termasuklah tertuduh sendiri, kami berpendapat bahawa keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan juga pihak penyiasat.

“Oleh itu, kami pasukan pendakwaan ingin memohon kepada hakim untuk memberhentikan prosiding terhadap tertuduh dan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga siasatan terperinci kes ini dijalankan oleh SPRM,” katanya di Mahkamah Tinggi.

Jelas Mohd Dusuki, susulan beberapa surat representasi Ahmad Zahid kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 20 Januari 2023 memaklumkan pihaknya siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh perlu dibuat.

Representasi Ahmad Zahid menyentuh siasatan terhadapnya sebelum, semasa dan selepas dituduh di mahkamah yang beliau dakwa dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap.

“Perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini adalah institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Untuk tidak menafikan hak tertuduh dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, kami percaya pertuduhan terhadapnya perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan DNAA kepada OKT sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai,” katanya.

Mohd Dusuki juga menarik perhatian mahkamah kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku memoir tulisan bekas peguam negara, Tommy Thomas dan pendedahannya berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap beberapa individu.

Dalam representasinya, Ahmad Zahid juga mendakwa beliau mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim kerajaan sebelum ini.

“Peguam Negara berpendapat bahawa amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.

“Malah, ia juga sebenarnya adalah selaras dengan tujuan RCI tersebut yang antara lainnya, bertujuan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam negara ini,” katanya.

Mohd Dusuki turut membangkitkan kebocoran memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara berkaitan kes yang sedang dibicarakan dan tular di media sosial.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman tersebut,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Collin memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kes ditetapkan untuk perbicaraan antara April hingga November ini.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Beliau didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. – 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen