Mampukah Malaysia sampai ke bulan?


Fakhrurrazi Rashid

India berjaya mendaratkan kapal angkasanya Chandrayaan-3 turun di kutub selatan bulan pada 25 Ogos lalu. – Gambar Facebook, 3 September, 2023.

INDIA mencatat kejayaan setara dengan gergasi dunia seperti Amerika Syarikat dan Russia kerana berjaya menjadi negara sulung mendaratkan kapal angkasanya Chandrayaan-3 turun di kutub selatan bulan pada 25 Ogos lalu. Pendaratan ini bukan sesuatu yang mudah kerana permukaan wilayah itu tidak pernah diterokai manusia sebelum ini. 

Misi ini adalah usaha konsisten Indian Space Research Organisation sejak 2008 dengan berlakunya beberapa siri kegagalan menjayakan projek ini. Kosnya menelan sebanyak USD 75 juta (RM 348.7 juta) sudah pasti mengundang polemik dan kontroversi.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam satu rancangannya mempersoal sama ada perbelanjaan misi ini berbaloi buat India yang masih dibelenggu kemiskinan tegar dan 700 juta orang rakyatnya tidak mempunyai kemudahan bilik air.

Tetapi, persoalan ini tidak mampu melindungi rasa bangga rakyat India yang melaungkan ‘Bharat mata ki jai’ (kemenangan untuk tanah air) yang tidak pernah dirasai sebelum ini. 

Hannah Abraham, seorang penulis bebas dalam artikelnya di The Guardian bertajuk ‘How India’s moon landing has boosted its self image’ menyatakan misi Chandrayaan-3 memberi inspirasi kepada berjuta-juta kanak-kanak di India yang melihat saintis tanah air mereka berdaya tahan dan tidak pernah putus asa untuk melakukan yang terbaik buat negara tercinta.

Misi ini membawa keuntungan berganda buat ekonomi India seperti pelaburan program aeroangkasa, penyelidikan dan inovasi dan mengangkat peranan komuniti sains di India. 

Bidang sains Malaysia kronik?

Meskipun politik domestik India berdepan dengan perbalahan agama yang tidak berkesudahan, misi Chandrayaan-3 menyemai rasa bangga dan kegembiraan rakyat India untuk maju ke hadapan dengan penemuan ilmu baharu. Perkara ini sudah pastinya mendorong masyarakat dan pemimpin dunia untuk kembali berdaya saing dalam menguasai pengetahuan saintifik.

India sudah pun sampai ke bulan, soalnya Malaysia sudah sampai di mana? Mungkin dekat tetapi masih jauh untuk mencapai sasaran tersebut.

Saya masih ingat bagaimana rakyat Malaysia berbangga mempunyai angkasawan pertama di hantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2007. Kejayaan ini memberi inspirasi buat golongan muda terlibat dalam bidang sains dan aeroangkasa.

Kerajaan Melaysia pernah berhasrat meneruskan misi menghantar angkasawan kedua ke ISS untuk menjalankan penyelidikan pada 2016. Tetapi misi itu sunyi hampir sedekad lamanya.  Anak muda hari ini kian menjauhi bidang sains dan teknologi yang dikira sukar dan tidak membawa keuntungan dalam kehidupan. 

Penyertaan pelajar dalam bidang STEM menurun kepada 40% pada tahun 2022,  jatuh sebanyak 26% sejak 2019. Malah 70% belia menolak tawaran melanjutkan pengajian di Institut Latihan Kemahiran Belia Negara (ILKBN) dalam bidang TVET pada sesi pertama, tahun ini.

Situasi ini boleh dianggap kronik kerana negara bakal berdepan kekurangan bakat dan tenaga mahir untuk membangunkan ekonomi Malaysia dalam tempoh jangka panjang.  Jadi, apakah misi menghantar angkasawan kedua boleh berlaku?

Dr Sheikh Muszaphar Shukor angkasawan negara menyatakan misi untuk menghantar angkasawan kedua pada tahun 2023 di bawah kerangka tindakan Agensi Angkasa Negara Malaysia mampu dilaksanakan dengan syarat perlu adanya kestabilan politik dan kerajaan futuristik di Malaysia. Kata kuncinya adalah kerajaan berwawasan dan stabil.

Ironinya, India berjaya sampai ke bulan, Malaysia pula terperangkap dengan parti ‘bulan’ yang sering menghantar mesej perpecahan yang akan meminggirkan pandangan masa depan dan terus menggugat kestabilan politik Malaysia.

Fitnah lawan saintifik?

Fitnah dan pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan secara terbuka untuk menajamkan lagi pertembungan bagi meruntuhkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Futuristik parti bulan ini hanyalah untuk menjatuhkan kerajaan pusat hampir setiap bulan. 

Malah, perdebatan dasar parti bulan hanya berkisar tentang momokan kepada parti roket, pakaian jururawat, dan dakwaan 54,000 rakyat China bakal menjadi warganegara Malaysia.  Lebih dasyat lagi apabila figura dalam parti bulan sanggup mempertahankan fitnah sedangkan mahkamah membuktikan dakwaan menjual aset Tabung Haji itu palsu dan tidak benar.

Perkara ini seolah-olah menggambarkan Malaysia berhadapan dengan pertembungan antara fitnah dan saintifik. Ini akibatnya bila fakta dimanipulasikan menggunakan logik yang tidak mempunyai sempadan nilai dan ilmu. 

Peliknya, berbaris-baris golongan profesional di dalam parti bulan dan sekutunya tetapi tidak mampu membina satu gagasan besar dalam soal pembinaan negara kecuali terpaksa tunduk kepada politik kaum dan agama untuk berkuasa semula.

Malah, negarawan seperti Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya moderat menekankan kepentingan sains dan teknologi, sudah berpatah arang dan tunduk kepada pandangan sempit kononnya untuk menolak kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim. 

Sayangnya, Kerajaan Perpaduan juga menari mengikut rentak parti bulan. Kerajaan Madani tergelincir daripada fokus memperluas gagasan dan visi besar buat negara yang boleh menyatukan rakyat dalam melihat masa depan yang lebih cerah. Terlihat juga Kerajaan Perpaduan yang  berjiwa kecil dan hanya mahu menyelesaikan isu simplistik seperti tandas di sekolah. 

Apabila Kerajaan Perpaduan tidak bersungguh-sungguh mencipta kerangka besar negara, rakyat sukar bergerak seiring dengan kerajaan. Kesannya, Kerajaan Perpaduan terpaksa berdepan dengan perang fitnah dan berita tidak benar hampir setiap masa dan ia tidak efektif untuk kemajuan negara.

Membina rakyat yang futuristik dan berteraskan saintifik, ilmu, dan nilai adalah satu usaha berterusan yang tiada noktah. Rakyat dan pemimpin harus berjalan seiring dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang digeruni rakan dunia kerana melahirkan generasi berasaskan ilmu bermanfaat dan bukan cerita-cerita fantasi kuasa politik dan tahyul. 

Persoalannya, apakah rakyat sanggup keluar dari zon selesa untuk membangun Malaysia yang futuristik dan berasaskan ilmu sains? Atau terus duduk selesa dan sanggup mangsa pemikiran politik parti bulan yang hanya melemahkan jiwa besar rakyat untuk menjadi gergasi dunia? – 3 September, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen