GARIS panduan mengenai konsert di kampus universiti masih menunggu kelulusan, kata Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin.
Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa garis panduan yang dicadangkan itu belum diserahkan kepadanya untuk kelulusan.
“Belum diluluskan lagi,” katanya.
Portal dalam talian itu melaporkan China Press telah melihat garis panduan di mana peserta konsert dikehendaki mematuhi kod berpakaian sederhana, melarang pemakaian pakaian yang memaparkan simbol Illuminati, pro-LGBT atau lucah, serta gaya rambut “punk”.
Ia juga menyatakan artis dilarang daripada berpakaian silang atau memakai pakaian yang lazim bagi jantina yang bertentangan contohnya penghibur lelaki dilarang memakai anting-anting, gelang dan seluar pendek.
Pada 18 Jun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertemu dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membincangkan fleksibiliti yang sesuai untuk penganjuran konsert di institusi pengajian tinggi awam.
Katanya beliau akan mendengar pandangan berhubung perkara itu.
“Saya tidak memberi peluang kepada belia untuk dirosakkan. Adalah penting untuk menjaga standard moral kita.
“Kerajaan mungkin akan membenarkan penganjuran program seperti acara kebudayaan tetapi ia perlu diadakan secara kecil-kecilan dan terkawal,” katanya.
Menurut China Press institusi pengajian tinggi tempatan dilaporkan menerima garis panduan itu pada 30 Ogos. – 1 September, 2023.
Komen