Malaysia sedia perluas program pertukaran pelajar dengan Rusia


Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyertai 'Russia–Islamic World: KazanForum' berlangsung dari 18 hingga 19 Mei. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2023.

MALAYSIA bersedia memperluas program pertukaran pelajar dengan universiti di Rusia, tetapi pengiktirafan bersama diploma perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memberi insentif kepada pelajar Rusia dan Malaysia untuk belajar di kedua-dua negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin, lapor Sputnik.

“Kami terbuka untuk itu,” kata Khaled ketika ditanya sama ada Malaysia merancang untuk memperluas program pertukaran pelajar dengan universiti Rusia, sempena “Russia–Islamic World: KazanForum”.

Beliau berkata Malaysia mempunyai Program Mobiliti Pelajar dan banyak universiti dari seluruh dunia sudah menyertainya dan menghantar pelajar ke Malaysia.

Namun, beliau berkata negara itu perlu menandatangani perjanjian mengenai pengiktirafan bersama diploma.

“Kami juga bersetuju perlu ada persefahaman dan persetujuan antara kedua-dua negara kerana satu bidang penting, untuk kita boleh menangani (isu ini) dengan mengadakan perjanjian, mengenai pengiktirafan bersama (diploma).

“Ini akan merintis jalan untuk lebih ramai pelajar datang sama ada ke Rusia atau pelajar Rusia untuk menyambung pengajian mereka di Malaysia. Tanpa pengiktirafan bersama ini mungkin ada pengehadan,” kata Khaled.

Selain itu, beliau berkata ramai pelajar dari Malaysia sedang menuntut di Rusia terutamanya dalam bidang perubatan dan farmasi serta kejuruteraan.

“Kami (Malaysia) bersyukur kerana mempunyai peluang ini. Kami mempunyai hubungan yang kukuh dalam pendidikan tinggi antara kedua-dua negara. Pertama, terdapat banyak kerjasama antara universiti kami dan universiti Rusia. Kami berharap ini dapat diteruskan,” katanya.

Selain itu, Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Sains dan Pengajian Tinggi Rusia, Airat Gatiyatov.

Forum itu berlangsung di Kazan, Rusia dari 18 hingga 19 Mei. – Bernama, 20 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen