KPT tunggu siasatan SPRM terhadap UiTM Holdings, kata menteri


Menteri KPT Mohamed Khaled Nordin berkata SPRM diharap dapat menyegerakan siasatan berhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan syarikat pegangan pelaburan milik penuh Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi akan menunggu laporan hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan sehingga mengakibatkan UiTM Holdings Sdn Bhd mengalami kerugian mencecah RM157 juta, sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menterinya Mohamed Khaled Nordin berkata SPRM diharap dapat menyegerakan siasatan berhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan syarikat pegangan pelaburan milik penuh Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

“(Mengenai dakwaan penyelewengan) UiTM Holdings itu, memang saya mengharapkan siasatan SPRM dapat disegerakan supaya saya sendiri pun tahu apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam, di Johor Bahru, hari ini.

Semalam, media melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan penyelewengan UiTM Holdings, yang turut melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat syarikat itu sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Selasa lepas, UiTM Holdings dilaporkan rugi RM157 juta yang didakwa berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021. – Bernama, 11 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen