Pemimpin terdesak guna kaum, agama raih sokongan politik, kata Abang Jo


Desmond Davidson

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di Dewan Politeknik Mukah, Sarawak, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2023.

PREMIER Sarawak Abang Johari Abang Openg melahirkan rasa sedih kerana negara tidak dapat menumpu kepada kemajuan sebaliknya diheret dalam kemelut politik pemimpin terdesak.

Katanya, situasi itu tidak baik untuk negara yang sedang bergelut untuk mendepani pelbagai cabaran termasuk kembali pulih selepas dilanda pandemik Covid-19.

“Saya agak sedih kerana kebelakangan ini negara tidak begitu berupaya untuk memfokuskan tenaganya untuk kemajuan keseluruhannya.

“Terdapat pemimpin yang kelihatan agak terdesak untuk menggunakan isu kaum dan agama yang boleh memecah belahkan masyarakat majmuk semata-mata untuk meraih sokongan politik.

“Sudah pastinya ini tidaklah baik untuk negara ketika dunia bergelut dengan pelbagai masalah khususnya pandemik COVID-19, peperangan dan perubahan iklim global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di Dewan Politeknik Mukah, Sarawak, hari ini.

Abang Johari sempat mengingatkan rakyat di Sarawak agar tidak leka dan terus bercakaran sesama sendiri hingga mempertaruhkan agama, kaum dan wilayah.

“Negara dijangka mencapai transisi daripada sebuah ekonomi pendapatan pertengahan tinggi atas kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

“Namun, janganlah kita leka dan terus bercakaran sesama sendiri kerana itu cenderung membawa kepada perpecahan dari segi perbezaan agama dan bangsa atau keturunan atau dari segi wilayah.

“Jika kita saling prejudis antara satu sama lain, tenaga dan pemikiran hanya ditumpukan untuk mengalahkan pihak lawan, bukannya memikirkan pemulihan ekonomi negara untuk mensejahterakan rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, setelah 66 tahun merdeka pun, makna kebebasan dan kemerdekaan itu masih belum direalisasikan sepenuhnya.

Katanya lagi, masih ada ruang untuk merealisasikannya dan tidak dapat dinafikan ada kemajuan yang signifikan sudah dicapai oleh negara ini dan Sarawak yang merupakan sebahagian daripada Malaysia jika dibanding dengan negara lain.

“Negara kini berjaya mempelbagaikan ekonominya daripada pertanian dan komoditi kepada ekonomi yang dipacu oleh aktiviti pembuatan dan perkhidmatan menjadi pengeksport utama barangan elektrik serta elektronik

“Berdasarkan laporan Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi negara berada secara purata pada sekitar 5.4% sejak 2010.

“Negara dijangka mencapai transisi daripada sebuah ekonomi pendapatan pertengahan tinggi atas kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024,” katanya.

Abang Johari yang berkata, walaupun Hari Kebangsaan hari ini disambut bagi meraikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, rakyat Sarawak harus bersama menyambutnya kerana ia sama penting dengan kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963.

“Kemerdekaan itu mencetuskan idea dan usaha untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah termasuk Singapura untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia pada 16 September 1963.

“Pemimpin Sarawak pada ketika itu bersetuju untuk bergabung dengan wilayah-wilayah lain untuk menubuhkan Malaysia demi memelihara keselamatan Sarawak daripada kuasa dan pengaruh ideologi asing dengan syarat tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – 31 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen