Sarawak sedia tawar tapak lokasi pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia


Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata penambahan pos kawalan sempadan penting bagi membanteras kemasukan pendatang asing secara haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2023.

KERAJAAN Sarawak bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menawarkan tapak bagi lokasi membangunkan pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia di negeri itu.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata penambahan pos kawalan sempadan ini penting bagi membanteras kemasukan pendatang asing secara haram dan meningkatkan keupayaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) di negeri itu. 

“Pos kawalan sempadan di bawah Kementerian Pertahanan jadi kita (kerajaan Sarawak) tidak ada kuasa untuk (mewujudkan sendiri pos kawalan). Kita bekerjasama dengan menawarkan tapak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di Kuching, hari ini. 

Pada Januari lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah. 

Sempadan di antara dua negeri Borneo itu terdiri daripada 1,881 kilometer (km) yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia.

Abang Johari turut mencadangkan supaya Pos Kawalan Sempadan Tebedu, kira-kira 97km dari Kuching dipindah dan dinaik taraf supaya lebih dekat dengan sempadan Malaysia-Indonesia bagi menyekat aktiviti penyeludupan di zon bebas atau tanah tak bertuan. 

“Kerajaan Indonesia naik taraf pos kawalan sempadannya di Entikong, jadi kita di pihak Malaysia mestilah naik taraf juga (Tebedu),” katanya. 

Sementara itu, dalam ucapannya beliau menasihati ketua masyarakat dan orang ramai mengenai kemungkinan wujud masalah sosial susulan kemasukan pekerja asing ke Sarawak memandangkan kerajaan negeri sudah mula membuka pintu sempadan kepada pekerja buruh asing. 

Terdahulu, premier Sarawak dan isteri Juma’ani Tuanku Bujang mengagihkan bantuan berbentuk juadah Aidilfitri kepada 11 agensi penerima terdiri daripada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang bertugas menjelang perayaan ini. 

Antara penerima bagi program anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak itu termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia. – Bernama, 14 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen