Hentikan pinda perlembagaan berhubung warganegara, kata aktivis 


Ravin Palanisamy

PUTRAJAYA harus berhenti meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan mewujudkan kelas baharu orang tanpa kerakyatan, kata aktivis hak asasi manusia hari ini.

Mereka berkata kerajaan, yang telah menjanjikan pembaharuan, kini mengambil langkah aktif yang akan menyerahkan mereka kepada undang-undang yang tiada harapan.

Aktivis itu berkata pada Jun lalu, Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan dengan beberapa pindaan kepada peruntukan utama kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja akan memastikan mereka yang tanpa kewarganegaraan tidak diiktiraf, tetapi turut mewujudkan satu kelas baru golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) yang lebih besar di Malaysia.

“Ianya bagai satu mimpi ngeri dystopia, dan logik disebalik langkah kerajaan ini tidak dapat difahami,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan peguam terkenal Ambiga Sreenevasan, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin, dan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia untuk Kawasan Luar Bandar (DHRRA) Malaysia bagi perlindungan sosial, Maalini Ramalo.

Keempat-empat mereka berkata, walaupun kerajaan terdahulu, yang tidak komited kepada reformasi atau ketelusan, ia tidak tunduk ke tahap ini.

Menurut mereka cadangan untuk mengeluarkan seksyen 1(e) di bahagian Kedua Jadual Kedua Perlembagaan, satu peruntukan yang penting untuk mengelak ketidak-warganegaraan di Malaysia, akan membawa kesan yang dahsyat kepada mereka yang dilahirkan dalam keadaan tanpa kerakyatan mana-mana negara.

“Bayi dan kanak-kanak akan dihukum dari sejak lahir lagi.

“Cadangan pindaan ini adalah tidak wajar dan bercanggah dengan objektif asal mengapa peruntukan ini dimasukkan di dalam perlembagaan tersebut,” kata mereka.

Merujuk kepada sejarah, mereka berkata perlembagaan telah memperuntukkan kewarganegaraan kepada sesiapa yang dilahirkan di dalam negara ini atas prinsip “jus soli”.

Kemudian pada tahun 1962, beberapa pindaan telah dibuat untuk memasukkan syarat bahawa sekurang-kurangnya salah satu ibu bapa adalah seorang warganegara dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak.

“Bagi mengelakkan bahaya sesiapa dijadikan stateless (tanpa kewargengaraan) akibat syarat baru ini, maka seksyen 1 (e) telah diperkenalkan ke dalam Perlembagaan.

“Penggubal-penggubal pindaan 1962, berpandang jauh dan telah memastikan terdapat perlindungan dalam bentuk seksyen 1 (e) tersebut.

“Maka keputusan yang tidak masuk akal untuk memansuhkan seksyen 1( e)  yang akan mewujudkan satu golongan kelas bawahan yang baru, yang akan tinggal di sebuah negara yang enggan mengiktiraf kewujudan sah mereka dan secara sistemik menafikan mereka dari menyertai masyarakat dalam secara saksama.

“Sama ada ianya dilakukan secara sengaja atau tidak, hasilnya adalah satu pembentukan secara jahat (social engineering) kelas bawahan yang baru,” kata mereka.

Selain itu, aktivis itu berkata kerajaan juga mempunyai cadangan pindaan lain yang perlu dibuat.

Antaranya ialah untuk mengeluarkan seksyen 19B bahagian 3 Jadual Kedua, yang akan turut menafikan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dijumpai (foundling) (kanak-kanak yang dibuang atau anak-anak yatim).

“Jelas, pindaan ini bertujuan membatalkan keputusan penting oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes CCH & satu lagi lwn Pendaftar Besar Bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2022] 1 MLJ 71, berkenaan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dijumpai (foundlings).

“Ianya juga akan turut membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang berasas serta progresif untuk melindungi kanak-kanak yang dijumpai (foundling) dari status tanpa kerwarganegaraan.

“Selain dari itu, terdapat beberapa cadangan pindaan yang lain; hak mendapatkan kewarganegaraan oleh mereka yang bermastautin tetap juga dikeluarkan, menjadikan anak kelahiran kepada mereka yang bermastatutin tetap juga menghadapi keadaan tanpa kewarganegaraan.

“Sememangnya adalah satu tipu helah serta muslihat yang jelas apabila pindaan ini dipakej bersama dengan cadangan pindaan yang diketahui umum yang harus dilakukan untuk menyelesaikan kesengsaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu yang berwarganegara Malaysia.”

Menurut mereka adalah satu tindakan kaunter-produktif, apabila kerajaan ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan ini dari satu segi, tetapi pada masa yang sama mewujudkan golongan baru tanpa kewarganegaraan yang lebih besar.

Mereka berkata maka secara logiknya, golongan ini bukan sahaja tidak akan mengecil, tetapi akan berganda termasuk secara bergenerasi.

“Kesan dasyat akibat tanpa warganegara tidak boleh dipandang kecil; mereka yang tanpa kewarganegaraan dihalang dari mendapatkan akses kepada pendidikan, khidmat kesihatan, pekerjaan dan hak-hak lain sebagai seorang warganegara Malaysia.

“Mereka akan terpaksa mengambil pekerjaan-pekerjaan yang dibayar rendah, berbahaya dan juga kerja-kerja yang tidak sah, dan semua ini dalam keadaan di bawah ancaman ditahan atau diperas ugut, termasuk oleh mereka dari kalangan pihak berkuasa.

“Secara ringkasnya, larangan ini kekal ke atas golongan ini – memaksa mereka untuk terus diketepikan dan disisihkan selama-lamanya.

“Apakah dosa kanak-kanak yang dilahirkan luar nikah sehingga mereka dinafikan satu masa depan? Mengapakah bayi yang dibuang dan anak-anak yatim dihukum oleh kerajaan untuk suatu keadaan yang bukan dibawah kawalan mereka? Apakah keadilan bagi mereka yang hanya kenali Malaysia sebagai negara mereka dan masih dinafikan kewarganegaraan?” soal mereka.

Cadangan pindaan perlembagan oleh kerajaan ini adalah satu tindakan yang kejam, dilakukan atas tanggapan yang salah iaitu kononnya golongan tanpa kerakyatan adalah satu isu keselamatan, tambah mereka.

Mereka berkata walaupun terdapat bantahan lantang terhadap pindaan ini, kerajaan ini masih berancang untuk mengemukakan pindaan ini kepada Majlis raja-raja bagi kelulusan pada bulan Oktober.

“Sesungguhnya slogan perpaduan dan harapan kepada Malaysia yang dicanang oleh kerajaan sempena Merdeka ini tidak seharusnya mengabaikan golongan mereka yang dinafikan kewarganegaraan.

“Mereka adalah sebahagian dari kami, rakyat Malaysia yang sama dan penyisihan mereka akan hanya merendahkan martabat kami semua,” kata mereka sambil menggesa kerajaan untuk menggugurkan cadangan pindaan berkenaan.– 30 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen