Aktivis pelarian Myanmar takut lenyap seperti Thuzar Maung


Kalidevi Mogan Kumarappa

Aktivis warga Myanmar Thuzar Maung (kanan) dan suaminya Saw Than Tin Win. Thuzar, suaminya dan tiga anak mereka didakwa hilang pada 4 Julai lalu. – Gambar Human Rights Watch, 22 Julai 2023.

KUMPULAN pelarian Myanmar bimbang mereka akan turut dihilangkan individu tidak dikenali seperti dialami satu keluarga dari komuniti itu sekiranya kerajaan tidak bertindak.

Aktivis komuniti Chin, James Bawi berkata kes yang didakwanya sebagai penculikan pada awal Julai itu bukan sahaja menakutkan aktivis tetapi seluruh warga Myanmar yang berada di Malaysia.

“Kami boleh menjadi mangsa penculikan yang seterusnya sekiranya pihak berkuasa Malaysia tidak mengesan dan menahan suspek yang menculik aktivis Myanmar dan keluarga Thuzar Maung,” katanya.

Thuzar merupakan aktivis komuniti tersebut yang didakwa hilang pada 4 Julai lalu. Komuniti tersebut mendakwa empat lagi anggota keluarganya juga hilang

Kesemuanya merupakan pelarian yang diiktiraf Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), kata Bawi.

Bawi memberitahu The Malaysian Insight, beliau percaya keluarga itu diculik dalam operasi terancang kerana lantang bersuara membela nasib pelarian Myanmar.

“Thuzar memang lantang memperjuangkan nasib kami dan disebabkan dia pemegang kad UNHCR kami tidak pernah risaukan keselamatannya.

“Tetapi apabila penculikannya dijalankan secara terancang dan rapi hingga pihak berkuasa Malaysia gagal mengesannya sehingga hari ini, ia memang sesuatu yang cukup merisaukan,” katanya.

Katanya, ada aktivis senegaranya yang takut untuk menjawab telefon dari nombor yang tidak dikenali termasuk dari wartawan demi keselamatan diri mereka terutama yang sudah berkeluarga.

Aktivis komuniti Chin, James Bawi percaya keluarga Thuzar Maung diculik dalam operasi terancang kerana lantang bersuara membela nasib pelarian Myanmar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai 2023.

Seorang lagi aktivis mengesyaki Maung menjadi sasaran kerana menentang junta tentera dan menyokong Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar.

“Tetapi, itu bukan satu alasan untuk dia bersama keluarganya hilang begitu sahaja. Kami berada di Malaysia di bawah perlindungan UNHCR.

“Kenapa sehingga sekarang pihak berkuasa Malaysia mahupun UNHCR tidak dapat mengesan apa-apa. Saya bimbang akan menjadi mangsa seterusnya,” katanya yang enggan dinamakan.

Menurut aktivis itu lagi, Thuzar terlibat dalam membantu NUG berhubung isu berkaitan hak dan kebajikan migran dan aktivis lain juga memainkan peranan yang sama.

“Beliau menyokong dan bekerjasama rapat dengan NUG berhubung perkara ini,” katanya.

Oleh itu, isu penculikan itu dirahsiakan hingga minggu lepas kerana bimbang hebahan oleh media membahayakan aktivis itu, katanya.

Seorang lagi aktivis yang mahu dikenali sebagai Chia berkata, mereka bimbang dihantar pulang kerajaan kedutaan Myanmar menyokong kerajaan pro junta tentera.

“Namun penculikan membabitkan pemegang kad UNHCR adalah sesuatu yang baru. Saya ingat kami selamat di bawah UNHCR.

“Rupa-rupanya keadaan masih sama dan diancam bahaya di mana sahaja kami berada, di Myanmar mahupun Malaysia,” katanya yang sudah 25 tahun menetap di Malaysia.

Selain Thuzar, turut hilang suaminya Saw Than Tin Win, 43, anak perempuan mereka, Poeh Khing Maung, 16, serta dua anak lelaki Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17.

Mereka didakwa dilarikan dari kediaman di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan menerima laporan dan menyiasatnya sebagai kes orang hilang.

“Pihak polis telah menerima laporan mengenai perkara ini. Susulan itu, satu siasatan telah dimulakan di bawah Kertas Siasatan Orang Hilang.

“Polis juga sudah meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk mengesan jika mereka ada melakukan pergerakan keluar dari Malaysia” katanya kepada The Malaysian Insight.

UNHCR dalam satu kenyataan menyatakan kebimbangan mengenai laporan kehilangan Thuzar dan keluarganya.

Badan itu turut menawarkan kerjasama kepada badan penguatkuasa undang-undang Malaysia bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan dan juga keselamatan keluarga terlibat. – 22 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen