PELAN Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akhir bulan ini bakal menggariskan antara lain idea bagi memacu masa depan sektor perindustrian negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, ia sekali gus akan membawa kesan terhadap pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor itu di negara ini.
“Minggu depan perdana menteri akan lancar dan bentang NIMP 2030 dan saya harap dapat memberikan maklumat dan menggariskan idea berkenaan dengan masa depan industri ini, sekali gus menarik DDI dan juga FDI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ruangan pejabat Infinity8 Reserve Mid Valley Southkey di Johor Bahru hari ini.
NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan Malaysia.
Mengenai Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) MITI dan agensi di bawahnya turut meliputi DDI, beliau berkata ia antara tumpuan perdana menteri bagi mengimbangi dan mengurangkan kebergantungan negara kepada FDI untuk menjana pelaburan negara.
“MITI menyambut baik (keputusan itu) dan saya bersama Menteri MITI (Tengku Zafrul Abdul Aziz) bersetuju DDI turut diberikan tumpuan,” katanya.
Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat MPN baru-baru ini dilapor sebagai berkata kerajaan menetapkan DDI sebagai salah satu KPI bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak FDI. – Bernama, 27 Ogos, 2023.
Komen