
SUMBANGAN Proton Holdings Bhd (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) kepada industri automotif tempatan membolehkan kedua-dua syarikat masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat kereta tersebut harus memenuhi kriteria-kriteria yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dipatuhi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong.
“Dengan adanya kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah NAP 2020, mana-mana syarikat selain Proton dan Perodua yang dapat memenuhi kriteria-kriteria itu juga layak dipertimbangkan untuk diberi layanan sebagai Projek Kereta Nasional,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mahu tahu sebab Proton masih diberikan pelbagai layanan istimewa memandangkan ia bukan lagi kereta nasional.
Liew berkata antara kriteria-kriteria yang ditetapkan sebagai ‘Malaysian Vehicle Project’ boleh dijadikan panduan termasuklah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Proton telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, iaitu sekitar 8,500 orang di mana 99% adalah rakyat tempatan, katanya.
“Proton melantik lebih daripada 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya dan nilai purata perolehan tempatan adalah antara 75% sehingga 80% terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, MITI akan sentiasa memantau pematuhan Proton dan Perodua ke atas kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dan bersedia untuk mengemaskini dasar dari masa ke semasa seiring dengan perkembangan industri automotif global. – Bernama, 13 Mac 2023.
Komen