Bekas menteri pertahanan gesa SPRM perjelas kelewatan tindakan skandal LCS


Ravin Palanisamy

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu Liew Chin Tong mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai kelewatan mereka mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam projek LCS yang dicemari skandal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.

BEKAS menteri pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu Liew Chin Tong mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kelewatan mereka mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam projek kapal tempur pantai (LCS) yang dicemari skandal.

Mereka berkata agensi anti rasuah itu perlu bertindak segera kerana mereka mempunyai maklumat mencukupi daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), laporan audit forensik yang dinyahklasifikasikan serta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Memandangkan laporan PAC mengenai projek LCS dikeluarkan pada 4 Ogos, diikuti dengan nyahklasifikasi dua laporan berkaitan, SPRM sepatutnya mempunyai maklumat dan bukti yang mencukupi untuk menjalankan siasatan, tangkapan dan pendakwaan terhadap individu terbabit,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Selama ini, SPRM telah menghantar wakil ke semua prosiding PAC. Mereka juga menerima salinan semua laporan JKSTUPKK dan juga laporan audit forensik mengenai projek LCS.”

Selain bertindak atas laporan tersebut, Mohamad dan Liew juga mahu SPRM menjelaskan kepada Parlimen sebab kelewatan siasatan, penahanan dan pendakwaan.

SPRM sebelum ini berkata siasatan sedang dijalankan.

Sehingga kini, hanya seorang pegawai iaitu bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  Ahmad Ramli Mohd Nor, telah didakwa berhubung skandal LCS.

Beliau juga merupakan bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Mohamad dan Liew turut menggesa audit forensik baharu ke atas Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) ke atas projek LCS bagi mendapatkan maklumat lengkap tentang semua transaksi dan aktiviti berkaitan pelaksanaan projek dan Letter of Award (LOA) dari 2015 hingga sekarang.

Memandangkan terdapat isu mengenai penggunaan dana LCS untuk pembayaran hutang lapuk kapal peronda generasi baharu (NGPV) oleh BNS, kedua-duanya berkata laporan JKSTUPKK mengenai enam NGPV, Sokongan Logistik Bersepadu dan Program Pakej Komersial oleh TLDM perlu dinyahklasifikasikan.

Pada 4 Ogos tahun ini, PAC mendedahkan sembilan sesi siasatannya terhadap projek LCS sejak 18 November 2020, mendapati tiada satu kapal pun telah disiapkan, walaupun kontrak yang diberikan melalui rundingan terus menyatakan lima kapal sepatutnya dibina dan dihantar pada Ogos 2022.

Kontrak pembekalan enam kapal oleh BNS menjadi isu hangat selepas didedahkan bahawa projek itu yang dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023, hanya 53.3% siap setakat ini 31 Mei, 2019.

Berdasarkan laporan, oleh jawatankuasa penyiasat tadbir urus, perolehan dan kewangan, yang didedahkan pada Rabu, sejumlah RM5.94 bilion telah dibayar oleh Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek itu setakat ini.

Menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai skandal perolehan LCS.

Beliau berkata isu pembekalan aset TLDM itu yang melibatkan kontrak berjumlah RM9.13 bilion perlu dijelaskan dengan teliti supaya tidak berlaku spekulasi dan rakyat tidak membuat keputusan sendiri. – 24 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen