SPRM rampas dokumen di FGV


Noel Achariam

Beberapa pegawai SPRM kelihatan di Menara Felda di Kuala Lumpur, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas beberapa dokumen berkaitan urus niaga mencurigakan dan pelaburan yang dilihat menyebabkan syarikat itu kerugian di pejabat Felda Global Ventures (FGV) di Kuala Lumpur pagi ini.

Ia susulan soal siasat SPRM terhadap Ketua Pegawai Eksekutif FGV Zakaria Arshad selama empat jam semalam, mengenai urus niaga antara syarikat Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

SPRM semalam berkata mereka sedang menyiasat dakwaan rasuah dan kemungkinan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai syarikat perladangan terbesar dunia itu.

Petang semalam, Zakaria hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan dilihat membawa beberapa dokumen yang dikatakan berkenaan dengan urus niaga FGV.

Zakaria bersama tiga lagi pegawai kanan yang dipaksa bercuti berkata beliau akan menjelaskan kepada SPRM berhubung urus niaga FGV yang mencurigakan seperti didedahkan kepada media sebelum ini. – 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen