CEO FGV serah dokumen kepada SPRM


Amin Iskandar

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holddings Berhad, Zakaria Arshad dilihat di depan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, hari ini. Beliau bersedia memberikan penjelasan urus niaga FGV yang mencurigakan sebagaimana didedahkan sebelum ini.– Gambar The Malaysia Insight oleh Nazir Sufari, 7 Jun, 2017.

KETUA Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holddings Berhad (FGV) Zakaria Arshad hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya petang ini.

Zakaria yang dipaksa bercuti bersama tiga lagi dilihat membawa beberapa dokumen yang dikatakan berkenaan dengan urus niaga FGV.

“Saya dipanggil oleh SPRM. Tapi saya pun memang sudah bersedia untuk jumpa SPRM,” kata Zakaria kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

“Saya nak serahkan dokumen kepada SPRM berkenaan dengan yang saya beritahu sebelum ini.”

Zakaria menjelaskan, beliau akan menjelaskan kepada SPRM berhubung urus niaga FGV yang mencurigakan seperti beliau dedahkan kepada media sebelum ini.

“Kalau dia tanya karang saya jawablah,” kata Zakaria ketika ditanya apakah beliau akan turut memberi keterangan berhubung urusniaga Safitex dan Delima Oil Products Sdn Bud (DOP).

Semalam Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha bersama dua lagi diarahkan  bercuti  sementara menunggu siasatan atas tunggakan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex kepada anak syarikat FGV, DOP.

Dalam temuramah disiarkan StarBiz hari ini, Zakaria meminta pemegang saham FGV memilih di antara dirinya atau Pengerusi Isa Abdul Samad.

Semalam Zakaria memberitahu media, FGV meneruskan pelaburan “tidak masuk akal” walaupun beliau membantah.

Antara lain, beiau mendakwa diketepikan dalam keputusan melabur dalam Felda Cambridge Nanosystems Ltd, untuk mengeluarkan nanokarbon.

Zakaria berkata anak syarikat Felda itu kita sedang mencari £100 juta (RM550 juta) untuk mengembangkan operasi selepas kerugian RM117 juta dalam masa empat tahun.

“Bagi saya, ini tidak masuk akal, kami adalah syarikat perladangan,” kata Zakaria.

Katanya, pada mulanya ahli lembaga pengarah FGV bersetuju dengan desakan menarik pelaburan daripada syarikat itu, tetapi mengubah fikiran tiga minggu kemudian di London untuk membenarkan pengembangan operasi itu diteruskan.

Zakaria berkata beliau juga membantah pembayaran RM300 juta untuk pegangan 30% dalam sebuah kilang krimer di Klang.

“Mengapa saya hendak bagi RM300 juta untuk perniagaan bukan teras? Mereka juga ketepikan (keputusan saya dan) walaupun exco sendiri tidak bersetuju, pelaburan itu masih diteruskan,” katanya.

Zakaria berkata dua contoh itu daripada banyak lagi keputusan perniagaan di mana pandangannya diketepikan.

Semalam Zakaria turut menggesa SPRM menyiasat FGV. Dalam reaksi balasnya, Isa turut mengalu-alukan badan pencegahan rasuah itu untuk menyiasat FGV. – 7 Jun 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen