6 muka baharu antara 10 exco Negeri Sembilan angkat sumpah


Adun Pertang Jalaluddin Alias dari BN dilantik sebagai exco kanan Negeri Sembilan. Beliau antara enam muka baharu exco yang mengangkat sumpah jawatan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos 2023.

SEPULUH Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan bagi penggal ke-15 mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini.

Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan itu bermula 10.15 pagi di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Maarof Mat Rashad, dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammed Abdullah.

Selain itu, Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Pada majlis hari ini, Menteri Besar Aminuddin Harun memaklumkan senarai exco yang telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz, terdiri daripada enam muka baharu dan empat Adun dilantik kembali ke jawatan itu.

Exco baharu itu adalah Jalaluddin Alias (exco kanan), Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, Ismail Lasim, Mustapha Nagoor, Mohd Faizal Ramli dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Sementara exco yang dilantik semula ialah Teo Kok Seong, Nicole Tan, J. Arul Kumar dan S. Veerapan.

PRN Negeri Sembilan pada 12 Ogos lepas menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi. – Bernama, 24 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen