Portfolio 10 Exco Selangor diumum Rabu ini, kata Amirudin


Menteri Besar Amirudin Shari berkata kesemua 10 Exco yang akan mengangkat sumpah jawatan petang ini merupakan barisan Adun terdiri daripada kesemua parti gabungan Kerajaan Perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

PORTFOLIO 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor akan diumum pada Rabu ini selepas selesai Mesyuarat Exco pertama yang akan dijalankan pada hari sama.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata kesemua 10 Exco yang akan mengangkat sumpah jawatan petang ini merupakan barisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang terdiri daripada kesemua parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Rabu nanti saya akan adakan Mesyuarat Exco yang pertama dan pada tengah hari pula saya akan maklumkan portfolio para Exco tersebut sekitar jam 12 atau 12.30 tengah hari,” katanya kepada media di Istana Alam Shah di Klang hari ini.

Menurutnya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya melepasi ujian pertama semasa pilihan raya lepas walaupun gagal mencapai kemenangan dua pertiga.

“Tetapi kita mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan dan ini adalah permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkan lagi (kerjasama PH-BN) pada masa depan,” katanya.

Gabungan PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lepas. Baki 22 kerusi lagi dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Berkenaan proses pelantikan menteri besar beliau berkata selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat tiba di tanah air pada Selasa lalu usai mendapat rawatan di luar negara, surat calon Menteri Besar daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim disampaikan kepada Tuanku keesokan harinya.

“Sebanyak tiga nama diletakkan termasuk nama saya dan pada Khamis, baginda Sultan mengesahkan saya akan diberi tugas sebagai menteri besar dan diikuti dengan perbincangan senarai Exco yang akan mengangkat sumpah pada hari ini,”  katanya.

Terdahulu Pengerusi PH Selangor itu secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar negeri itu bagi penggal kedua pada hari ini.

Amirudin mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Sharafuddin yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah di Klang pada 11.23 pagi. – Bernama, 21 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen