10 Adun angkat sumpah exco Kedah


SEPULUH Adun Kedah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) termasuk tujuh muka baharu hari ini.

Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar bermula pukul 10 pagi.

Majlis bermula dengan acara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah oleh kesemua exco diikuti pengurniaan tauliah pelantikan oleh Sultan Sallehuddin.

Adun Merbau Pulas Siti Ashah Ghazali yang mendahului senarai 10 Adun mengangkat sumpah memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, diikuti Adun Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat (pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama dan Komunikasi dan Penerangan).

Majlis mengangkat sumpah diteruskan oleh Adun Jitra Dr Haim Hilman Abdullah (pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi), Adun Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad (pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan) dan Adun Kuala Nerang Mohamad Yusoff Zakaria (pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar).

Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada 14 Ogos lalu memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar. – Gambar YouTube, 21 Ogos 2023.

Turut mengangkat sumpah ialah Adun Kuala Ketil Mansor Zakaria (pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan), Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani (pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan) dan Adun Kubang Rotan Mohd Salleh Saidin (pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan).

Seterusnya, turut mengangkat sumpah ialah Adun Alor Mengkudu Muhammad Radhi Mat Din (pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan) dan Adun Kulim Wong Chia Zhen (pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan).

Sementara itu, Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada 14 Ogos lalu memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar.

Pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri Kedah selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, sementara tiga lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) iaitu Kota Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Norizan Khazali. – Bernama, 21 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen