KEKOSONGAN jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai J Arul Kumar, sama ada perlu diisi atau tidak akan diputuskan pada minggu depan.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Pengerusi DAP negeri merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan dibawa untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita akan bincang dengan pengerusi DAP negeri (Loke). Mungkin ada yang memangku (jawatan itu) atau mungkin ada yang baharu, kita akan bawa untuk perkenan Tuanku dan maklum ada exco letak jawatan, apa jua tindakan akan dimaklumkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Anak peringkat negeri di Seremban hari ini.
Arul Kumar melepaskan jawatan berkenaan selepas dilantik sebagai Setiausaha Politik Loke bermula 27 Januari lepas dan pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Arul Kumar merupakan Adun Nilai sejak Mei 2013 selain berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sejak 2018. – Bernama, 29 Januari, 2023.
Komen