Akaun YAB disita, syarikat kontraktor bina masjid tidak terima bayaran 3 bulan, kata saksi


Zahid hamidi dalam keterangan pada April tahun lepas berkata antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu syarikat kontraktor bagi pembangunan projek Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak tidak menerima bayaran selama tiga bulan kerana akaun Yayasan Akalbudi (YAB) telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pengurus projek pembinaan Masjid Tuminah Hamidi Ramli Ngah, 56, berkata ekoran itu perjalanan pembinaan masjid berkenaan terganggu menyebabkan tempoh penyiapan masjid itu lewat daripada pelan asal tarikh siap.

“Sekitar pertengahan 2018, kerja pembinaan tersebut terhenti seketika kerana pada masa itu Yayasan Akalbudi disiasat oleh SPRM.

“Sekitar empat ke lima bulan selepas itu, apabila telah mendapat kelulusan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Ahmad Zahid Hamidi), barulah kerja pembinaan tersebut diteruskan semula iaitu pada awal tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Timbalan Perdana Menteri itu yang diperintah membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.

Ramli yang bekerja di bawah syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan masjid itu berkata beliau mengetahui pembinaan masjid berkenaan adalah sumbangan daripada Yayasan Akalbudi melalui Yayasan Al-Falah yang dilantik sebagai pemaju.

Katanya pembinaan masjid itu bermula 12 Jun 2017 dengan upacara majlis pecah tanah tapak pembinaan dirasmikan oleh Ahmad Zahid ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan pada Julai 2017 kerja-kerja tapak projek pembinaan masjid dilakukan antaranya penanaman cerucuk dan pembinaan tapak.

Saksi pembelaan kesembilan itu berkata Ahmad Zahid kerap datang dan melakukan lawatan kerja pembinaan masjid berkenaan.

“Kebiasannya beliau (Ahmad Zahid) akan datang dalam sebulan sekali atau dua bulan sekali. Apabila datang, beliau akan memantau perkembangan pembinaan masjid ini dan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan tersebut berjalan dengan lancar.

“Apabila beliau datang melawat dan pihak kami ingin mengadakan mesyuarat pengurusan projek, beliau sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat tersebut,” katanya.

Menjawab soalan peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Ahmad Zahid, Ramli berkata masjid yang menelan kos RM43.7 juta telah siap pada April lalu dan digunakan pada Ramadan lepas walaupun ia belum dirasmikan.

Sementara itu Pengerusi Masjid Al Aula di Hutan Melintang Bagan Datuk Mohd Sani Chik berkata pembinaan Masjid Al Aula juga adalah 100 peratus hasil sumbangan penuh daripada Ahmad Zahid.

“Saya masih ingat pada tahun 1998, saya bersama-sama arwah Haji Yusuf iaitu pengerusi kepada jawatankuasa pembinaan masjid tersebut ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Zahid. Ketika itu Zahid adalah Pengerusi kepada Bank Simpanan Nasional dan perjumpaan tersebut dibuat di pejabat beliau di bank tersebut.

“Hasil daripada pertemuan itu Zahid bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM400,000 dengan memberi cek peribadi atas nama beliau kepada kami. Cek tersebut diisukan atas nama Masjid Al Aula,” kata saksi pembelaan ke-10 itu.

Ahmad Zahid dalam keterangan pada April tahun lepas berkata antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. –  Bernama, 21 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen