Sumbangan RM13.25 juta untuk aktiviti yayasan, kata Zahid


Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akal Budi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang sumbangan berjumlah RM13.25 juta daripada ahli perniagaan Junaith Asharab Md Shariff adalah untuk kegunaan bagi aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi (YAB).

Zahid, 69, berkata sumbangan itu bukannya untuk kepentingan beliau.

“Yang Arif, sumbangan itu bukan untuk saya secara peribadi, ia adalah untuk kebajikan. Saya tiada perasaan apa-apa dan itu adalah biasa,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd ‘Afif Ali semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB. 

Mohd ‘Afif : Datuk Seri tidak ‘happy’ apabila ada orang yang bagi sumbangan kepada Datuk Seri?

Zahid: Bukan untuk saya, untuk saya tidak perlu ‘happy’ pun, ucap terima kasih sahaja. Saya tidak ada perasaan, ia bukan untuk saya, kalau untuk saya, saya gembiralah.

Bagaimanapun, beliau tidak mempersoalkan sumber sumbangan itu diperoleh daripada mana.

Semasa ditanya Mohd ‘Afif  mengenai pemborong tekstil Junaith pernah bertanya kepada beliau untuk mendapatkan pengecualian cukai, Zahid berkata beliau tidak ingat.

Mohd ‘Afif: Sepanjang perbicaraan kes ini tidak ada sebarang dokumen yang menunjukkan bahawa pengecualian cukai atau pun maklumat berkaitan sumbangan Junaith ini kepada YAB pernah dikemukakan di mahkamah.

Zahid: Setuju

Mohd’ Afif : Saya cadangkan Junaith pernah bertanya kepada Datuk Seri bahawa beliau meminta resit untuk mendapatkan pengecualian cukai.

Zahid: Saya tidak ingat. 

Menyentuh mengenai dana YAB berjumlah RM1.3 juta yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2015, Zahid berkata dana itu adalah berbentuk pinjaman dan bukannya tajaan.

Katanya dana itu diminta oleh menantunya Zul Hisham Zainal yang juga ahli perniagaan sebagai bantuan kewangan kepada pemain serta kakitangan persatuan bola sepak itu yang sudah empat bulan tidak dibayar gaji.

Zahid bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin bahawa beliau yang mengarahkan bekas setiausaha eksekutifnya Mazlina Mazlan @ Ramly untuk menyediakan cek RM1.3 juta itu kepada persatuan bola sepak tersebut dan telah menandatangani cek berkenaan.

Disoal Nur Aishah sama ada YAB yang bertujuan membantu golongan miskin dan fakir boleh memberi dana kepada persatuan bola sepak itu, Zahid menjelaskan apabila mereka tidak mendapat bayaran gaji selama empat bulan, mereka akan menjadi miskin kerana tidak mampu untuk menampung perbelanjaan harian, bayaran rumah dan kereta.

Zahid turut menafikan wang RM1.3 juta yang diberikan kepada persatuan bola sepak itu adalah satu kesalahan pecah amanah kerana wang tersebut dibayar semula kepada YAB.

Sementara itu, Zahid tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan yang beliau sering menyalahkan orang lain semasa memberi keterangan di mahkamah.

“Saya bukan menyalahkan orang lain, ia bersifat kebenaran dan itulah yang benar-benar berlaku. Kenyataan saya adalah berdasarkan sumpah yang saya baca (di mahkamah),” katanya.

Dalam prosiding hari ini, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil 43 saksi.

Pasukan pembelaan Zahid sebelum ini memaklumkan mahkamah ia akan memanggil 20 saksi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri atas 47 pertuduhan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – Bernama, 23 Ogos, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen