Virus polio dikesan dalam sampel kumbahan Peshawar, Pakistan


Peshawar melaksanakan kempen vaksinasi terbaharu dari 7 hingga 13 Ogos, di mana kanak-kanak di bawah usia lima tahun diberi vaksin polio secara oral, dan kanak-kanak yang layak juga diberikan vaksin suntikan untuk meningkatkan imuniti. – Gambar EPA, 18 Ogos 2023.

SATU sampel kumbahan dari bandar Peshawar di barat laut Pakistan didapati positif virus polio liar jenis satu, menjadikan jumlah sampel persekitaran yang positif tahun ini kepada 15, menurut kementerian kesihatan Pakistan dalam satu kenyataan.

Sampel itu dikumpulkan dari kawasan Naray Khuwar, Peshawar pada 1 Ogos dan ia adalah sampel positif ketujuh yang dikesan di bandar itu setakat tahun ini, lapor Xinhua.

Peshawar melaksanakan kempen vaksinasi subnasional yang terbaharu pada 7 hingga 13 Ogos, di mana kanak-kanak di bawah usia lima tahun diberikan vaksin polio secara oral dan kanak-kanak yang layak juga diberikan vaksin suntikan untuk meningkatkan imuniti.

“Kempen polio diadakan secara berkala di negara ini dan ibu bapa, terutamanya di daerah-daerah di mana virus dikesan, harus sedar akan bahaya kepada anak-anak mereka dan memastikan anak mereka divaksin setiap kali berpeluang,” Setiausaha Kesihatan Iftikhar Ali Shallwani dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan. – Bernama, 18 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen