Dos Penggalak kedua bagi bawah 60 tahun diputus beberapa minggu lagi, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal vaksinasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.

KEPUTUSAN sama ada rakyat Malaysia berumur bawah 60 tahun akan disyorkan untuk mengambil dos penggalak kedua bagi Covid-19 dalam beberapa minggu lagi, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menteri Kesihatan berkata ia kini sedang dikaji oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal bagi Vaksinasi Covid-19.

“Pada masa ini, Jawatankuasa Kerja Teknikal sedang memperhalusi sama ada untuk mengesyorkan dos penggalak kedua kepada mereka yang berumur di bawah 60 tahun tanpa sebarang masalah kesihatan.

“Ini akan diumumkan dalam seminggu dua selepas kita melihat maklumat secara terperinci,” kata Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata keputusan itu akan dibuat dengan mengambil kira peningkatan kes harian baharu dan juga dengan kemunculan subvarian Omicron BA.5 yang baru dikesan dan sangat mudah menular di negara ini.

Selain itu, Khairy turut menggesa individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan dan individu berisiko tinggi mengambil suntikan dos penggalak kedua Covid-19.

“Bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, petugas barisan hadapan atau individu yang mempunyai komorbiditi yang telah menerima dos penggalak pertama, mereka juga digesa mendapatkan dos penggalak kedua selepas enam (6) bulan menerima dos penggalak pertama.

“Dos penggalak kedua boleh didapati secara percuma di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdaftar yang disenaraikan di laman web Protect Health.

“Orang ramai dinasihatkan menghubungi PPV terlebih dahulu untuk temujanji,” katanya.

Dalam memberikan statistik itu, Khairy berkata seramai 16,152,022 (68.8%) individu telah menerima dos penggalak pertama vaksin Covid-19 manakala jumlah yang layak menerima suntikan penggalak pertama mengikut kriteria ditetapkan kementerian ialah 23,545,221.

Khairy berkata ini menjadikan sejumlah 7,393,199 (31.4%) yang masih belum menerima dos penggalak pertama mereka.

Mengenai dos penggalak kedua, Khairy berkata individu yang layak menerima suntikan mengikut kriteria yang ditetapkan kementerian ialah 2,490,810 tetapi hanya 151,018 (6.06%) yang menerima suntikan itu.

Beliau berkata 2,339,792 (93.94%) penerima yang layak belum mengambil suntikan penggalak kedua mereka setakat ini.– 8 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen