ADUN Dato Keramat Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, sementara Adun Batu Maung Mohamad Abdul Hamid dilantik sebagai timbalan ketua menteri I, lapor Free Malaysia Today.
Jagdeep dari DAP menggantikan P Ramasamy yang digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lepas. Ramasamy memegang jawatan timbalan ketua menteri II sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Dilaporkan Jagdeep yang juga seorang peguam akan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.
Mohamad dari PKR, yang juga pakar bidang kewangan dan pengurusan risiko, dilapor diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Sementara itu, Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican dari Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut mungkin akan dilantik timbalan ketua menteri I Pulau Pinang tidak tersenarai dalam barisan exco kerajaan negeri.
Satu-satunya wakil BN berada dalam exco Pulau Pinang adalah Adun Sungai Acheh Rashidi Zinol, yang akan mengetuai Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar.
Barisan exco baharu Pulau Pinang menampilkan tujuh wakil rakyat DAP, dua daripada PKR dan seorang daripada Umno.
Gabungan Pakatan Harapan-BN menang 29 daripada 40 kerusi DUN dalam PRN Pulau Pinang pada Sabtu lepas. – 16 Ogos 2023.
Komen