KERAJAAN Negeri Pulau Pinang dijangka menguatkuasakan garis panduan pengoperasian tempat inap persendirian di skim tanah berstrata dan skim rumah atas tanah di Pulau Pinang pada 1 Jan 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Sing Deo berkata garis panduan itu sudah lebih 90 peratus siap dan akan dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam dua hingga tiga bulan.
“Kami telah menerima 228 aduan pada 2019, 258 aduan pada 2020, 186 aduan pada 2021 dan 14 aduan setakat Mei tahun ini daripada penduduk di bahagian pulau mengenai penginap yang menyewa di inap persendirian jangka pendek.
“Antara aduan yang diterima adalah mengenai kerosakan infrasruktur yang disediakan dan terlalu ramai orang menginap di satu unit di inap persendirian itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tempat Inap Persendirian Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata garis panduan tersebut disediakan bagi menambah baik dan memperkemas kaedah serta tatacara pengendalian pengoperasian tempat inap persendirian di Pulau Pinang, selaras dengan peningkatan bilangan pengoperasiannya dalam negeri itu.
Katanya Pulau Pinang merupakan negeri tumpuan pelancong dan sesetengah pengunjung memilih rumah inap ketika berkunjung ke George Town.
“Kita tidak mahu menjejaskan ekonomi industri pelancongan kerana ia baru sahaja kembali meningkat selepas impak yang diberikan oleh Covid-19, bagaimanapun, kesejahteraan penduduk Pulau Pinang juga perlu dijaga dan pemilik inap persendirian perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya. – Bernama, 28 Julai, 2022.
Komen