Sekolah anak pelarian etnik Mon, Rohingya serba kekurangan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Anak-anak etnik Mon beragama Kristian dari Myanmar mampu mendapat peluang pendidikan di sebuah akademi di Pudu, Cheras dengan bayaran RM150 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos 2023.

DENGAN bayaran RM150 sebulan, anak-anak etnik Mon beragama Kristian dari Myanmar mampu mendapat peluang pendidikan di sebuah akademi di Pudu, Cheras.

Pengurus pusat pelajaran Mon Learning Academy, Nai Wonna berkata pengajaran dan pembelajaran ditawarkan tidak sempurna seperti sekolah kebangsaan namun sekurang-kurangnya anak pelarian itu tidak tercicir daripada pendidikan.

Pusat itu menawarkan empat mata pelajaran asas untuk pelajar tersebut meliputi lima kelas dari peringkat tadika hingga sehingga usia 16 tahun dengan tenaga pengajar dari kalangan etnik Mon.

“Pada asalnya, kami dibekalkan buku oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetapi dengan alasan dana tidak mencukupi, bantuan itu juga dihentikan.

“Sekarang dengan bantuan dana daripada beberapa persatuan Buddha di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, kami menggunakan buku-buku yang berkualiti.

“Mata pelajarannya yang diajar ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Myanmar, Bahasa Melayu, Sains dan Asas Perkomputeran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Wonna, yuran RM150 itu memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesemua 56 pelajarnya kerana majoriti daripada mereka menetap di sekolah itu.

“Kami menyediakan perkhidmatan asrama berikutan kebanyakan ibu bapa pelajar bekerja di luar Lembah Klang seperti Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan demi kelangsungan hidup.

Selepas 16 tahun, pelajar tersebut akan berpindah ke sekolah menengah pelarian berdekatan dan ada yang berjaya melanjutkan pengajian hingga institusi pendidikan tinggi swasta.

“Cuma peluang untuk mereka agak terhad kerana tidak semua institusi pengajian tinggi yang menerima pelajar pelarian.

“Yang saya pasti, nasib kami akan berubah hanya melalui pendidikan yang formal,” kata Wonna.

Sebuah akademi pendidikan untuk anak-anak etnik Mon dari Myanmar di Pudu, Cheras menawarkan empat mata pelajaran asas untuk pelajar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos 2023.

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai enam tenaga pengajar dari Myanmar dan tiga guru sukarelawan tempatan yang membantu sekolah itu secara percuma.

“Ada juga pelajar di sini yang tidak mampu untuk membayar yuran yang dikenakan berikutan ibu bapa ditahan pihak berkuasa, jadi kami memberikan mereka keistimewaan untuk belajar dan tinggal di sini secara percuma,” katanya.

Katanya, meskipun pusat pelajaran itu mendapat bantuan dana daripada beberapa persatuan tetapi mereka masih memerlukan beberapa keperluan asas seperti komputer dan bahan eksperiman sains untuk tujuan pelajaran.

“Satu lagi harapan kami adalah, kanak-kanak pelarian diberi peluang untuk belajar di sekolah kerajaan Malaysia dengan yuran yang minima bagi memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan formal yang berkualiti demi masa depan mereka,” katanya

Sementara itu, sebuah lagi sekolah etnik Rohingya di Ampang, Selangor terpaksa menghentikan kelas tahfiz percuma yang ditawarkan kepada 25 pelajar etnik itu kerana berdepan dengan cabaran kewangan.

Tenaga pengajar sekolah itu yang juga dari etnik yang sama, Anwar Shah Mohammad Siddiq berkata, selepas pandemik Covid-19, sekolah itu menghadapi pelbagai masalah kewangan termasuk hutang sewa.

Mereka juga tidak mampu membayar gaji tenaga pengajar sepenuh masa sehingga terpaksa menghentikan kelas tahfiz.

“Kami beroperasi sepenuhnya menggunakan derma namun sehingga kini tetap berusaha untuk tidak mengutip yuran daripada pelajar kerana tahu mereka tidak mampu untuk menanggungnya kerana majoriti ibu bapa mereka hanya bekerja secara tidak formal di negara ini.

“Kami juga membekalkan sarapan dan makanan tengah hari untuk semua pelajar kami dengan bantuan derma individu persendirian” katanya yang sekolah itu tidak menerima apa-apa bantuan dari UNHCR.

Katanya, seramai 107 kanak-kanak etnik Rohingya bersekolah di Darul Eslah Rohingya Academy ketika ini untuk sesi pagi dan petang.

Seramai 107 kanak-kanak etnik Rohingya bersekolah di Darul Eslah Rohingya Academy ketika ini untuk sesi pagi dan petang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos 2023.

“Sekolah ini dimulakan pada 2007 di sebuah rumah teres yang disewa dan berkat derma ramai pihak, sekolah ini diubah suai dengan membuat ruang tambahan di rumah itu bagi memperluaskan tempat belajar.

“Kami masih bertahan kerana bersemangat melihat kesungguhan anak-anak murid untuk belajar di sekolah tersebut meskipun masa depan mereka masih tidak jelas di negara ini.

“Harapan kami hanya satu, anak-anak ini diberi peluang untuk mendapat pendidikan formal di sekolah kerajaan Malaysia demi masa depan mereka. Hanya pendidikan formal akan mengubah masa depan mereka,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight di premis itu mendapati terdapat lima kelas digunakan untuk kelas kanak-kanak Rohingya.

Subjek yang diajar adalah bahasa Inggeris, bahasa Melayu, pengajian Al-Quran dan Matematik.

Ruang atas rumah itu dijadikan perpustakaan dan kelas pendidikan seni.

Terdapat ruang untuk mengambil air wuduk, selain dapur dan tandas bagi kegunaan lebih 100 murid Rohingya.

Menurutnya, kira-kira 20,000 kanak-kanak Rohingya dianggarkan berada di Malaysia.

Seorang guru di Akademi Darul Islah Rohingya, Anwar Shah Mohammad Siddiq bersama pelajarnya di sekolah di Ampang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos 2023.

Di kawasan Ampang, terdapat 300 kanak-kanak yang mana 107 daripada mereka belajar di sekolah itu manakala bakinya berpecah antara sekolah mubaligh dan ditaja oleh persatuan bukan kerajaan.

Bagi Anwar, apa yang ditakutinya ialah masa depan kanak-kanak tersebut.

“Mereka tidak ada dokumen, tidak bernegara tidak dibenarkan menyambung pengajian di sini.

“Tanpa pendidikan, mereka akan terjerumus dalam jenayah atau bergaduh dengan orang tempatan,” katanya.

Beliau mahu kanak-kanak tersebut berjaya seperti murid-murid lain berikutan ada bekas pelajar sekolah itu yang berjaya menyambung pengajian di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. – 14 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen