Jaguh bandar lawan jaguh kampung


Mohd Azizi Jaeh

PEMBUANGAN undi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini adalah pertandingan dua jaguh – masing-masing menguasai dua ruang fizikal berbeza.

Pemisahan ruang geografi antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sering dilabel dengan pengenalan identiti berbeza. Penguasaan PH di Pantai Barat Semenanjung digolongkan sebagai jaguh di kawasan bandar, manakala PN yang mengungguli Pantai Timur dan Utara Semenanjung disimbolkan sebagai jaguh di kawasan desa.

Yang menariknya, perbezaan jajaran fizikal ini dijadikan faktor pertarungan kedua blok bagi merebut sokongan daripada 9.77 juta pengundi bagi 6 negeri.

Kedua pakatan politik saling cuba untuk menembusi kubu kuat dan wilayah parti lawan mereka.

Di satu pihak mereka mengharapkan gelombang perpaduan merebak sampai ke Pantai Timur, sementara di satu pihak ingin memastikan gelombang hijau terus membadai ke Pantai Barat.

Pantai Timur dan Pantai Barat dalam rencana ini merujuk kepada “geografi politik” bukannya “geografi kawasan”.

Perlu diingatkan, tidak kesemua kawasan Pantai Barat dikategorikan sebagai jajaran campuran. Kawasan Selangor Utara, Negeri Sembilan Timur dan Pulau Pinang di sebelah Tanah Besar umpamanya merupakan kawasan Melayu yang jumlah kerusinya boleh dianggap signifikan. Belum dikira lagi tiap-tiap kerusi yang bilangan pengundi

Melayu majoritinya adalah hampir setara dengan kerusi pengundi campuran.

Berbeza dengan Pantai Timur yang keseluruhannya adalah kerusi Melayu, sementara di Kedah kedudukannya tidaklah jauh berbeza dengan Kelantan dan Terengganu, cuma pengundi bukan Melayu menampakkan jumlah yang “sedikit lebih” di beberapa kawasan bandar dan industri seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim.

Fenomena ini memberi kelebihan untuk blok PN atau PAS khususnya melebarkan penguasaan di ketiga negeri yang diklasifikasikan Malay belt.

Penandaan pengaruh mengikut geografi mencerminkan hasil keputusan PRU15 pada 19 November tahun lalu. Bahagian Pantai Barat yang padat penduduknya, pesat pembangunan industri, serta terdiri dari pelbagai lapisan kaum lebih didominasi PH.

Lantaran ruang budaya politik pengundi di kawasan ini lebih dekat dengan suasana parti berorietasikan bandar – Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Kawasan Pelabuhan Klang, Petaling Jaya, Subang, Damansara, Ampang dan Puchong (kawasan DUN di dalamnya) dianggap kawasan simpanan tetap untuk PH mencatatkan bilangan kerusi bagi menubuhkan kerajaan.

Begitu juga kawasan majoriti bukan Melayu di Pulau Pinang boleh diletakkan sebagai kayu ukur untuk meneruskan PH penguasaan PH di negeri itu.

Situasi politik di Negeri Sembilan pula terkecuali daripada perkembangan di Selangor dan Pulau Pinang yang lebih diungguli PH.

Di Negeri Sembilan, dominasi PH dan BN hampir seimbang dan setara. Persepakatan antara PH yang disifatkan jaguh bandar dan sekutunya BN yang dianggap jaguh kampung dilihat untuk saling melengkapi.

Sesungguhnya pengaruh Pantai Barat yang melekat pada PH menjadi penampan untuk BN bernafas – tatkala BN kini sedang mengalami kemerosotan selepas PRU15 tetapi masih mampu
mempertahankan beberapa kerusi di Parlimen Negeri Sembilan.

Di samping itu, BN kelihatan menjadi kuasa penengah untuk meraih dan mencuri semula sokongan Melayu yang hilang daripada PN. Kedudukan Umno sebelum ini sebagai jaguh kampung diambil alih PN buat masa ini.

Berbanding Pantai Barat, kawasan Pantai Timur dan Kedah pula sebahagian besarnya dicorakkan kegiatan parti yang cenderung kepada budaya politik akar umbi, kaedah bersemuka, sering mengadakan aktiviti keagamaan serta program dakwah.

Keperibadian Melayu-Islam ini telah meneguhkan parti yang berasaskan identiti khususnya PAS.

Identiti PN dengan retorik politik Melayu telah menguatkan lagi kedudukannya sebagai jaguh kampung untuk menggantikan Umno.

Istilah politik Melayu semacam bersemayam abadi dalam psike orang Melayu desa dan tiada satu kuasa seperkasa yang lain dapat menghakisnya sampai sekarang.

Perang budaya dan persepsi turut menjelaskan permusuhan PH dan PN. Label seperti kekampungan, kolot, ortodoks, ekstremis, penunggang agama, rasis dan konservatif terhadap budaya yang diamalkan PN.

Tidak kurang gelaran negatif juga dilemparkan kepada PH seperti komunis, rasis, cauvinis, ejen Israel, boneka Yahudi, talibarut Amerika, liberal, sekular dan penyokong LGBT.

Namun, pertembungan antara jaguh bandar dengan jaguh desa itu tidaklah sampai ke tahap berlakunya keganasan dan peperangan.

Mungkin agak keterlaluan untuk menggunakan analisis Clash of Cvilization tulisan Samuel Huntington dalam perseteruan antara PH dengan PN, namun dalam beberapa konteks mungkin ada
sedikit persamaan.

Dalam tempoh kempen, keghairahan yang jelas adalah misi PH-BN merampas Kedah, sementara PN mempunyai impian untuk menawan negeri terkaya di Malaysia iaitu Selangor.

PRN bukan setakat berkitar mengenai pertembungan pemimpin tempatan (baca: dalam negeri sahaja)) malah melewati sempadan negeri yan diwakili.

Dua menteri besar iaitu Selangor (Amirudin Shari) dan Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) saling menentang, mencabar dan menonjolkan identiti negeri mereka tadbir (naratif semua kaum vs. satu kaum) yang menjerumuskan suhu bahang dalam kempen PRN ini.

Dari satu segi, Selangor lebih mewakili parti bandar khususnya kekuatan PKR dan DAP, manakala Kedah pula mewakili parti desa iaitu PAS dalam soal perlumbaan pengaruh berbanding 4 negeri yang lain.

Penutup kempen dan grand finale bagi PH-BN dan PN PRU diadakan di Selangor dan Kedah. Ini membayangkan masing-masing ingin menawan negeri ini.

Dua negeri tersebut dilihat pusat tempur utama – Kedah kelihatan barisan depan untuk Kelantan dan Terengganu, sementara Selangor pula barisan depan bagi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Apa pun keputusan PRN ini sama-samalah kita saksikan malam ini.

Walaupun kebanyakan badan penyelidikan dan pemerhati politik meramalkan berlakunya status quo di negeri PH dan PN terus unggul di jajaran Melayu, namun tendensi mereka dalam merubah fikiran dan pilihan daripada satu pilihan raya kepada satu pilihan raya lepas adalah tinggi.

Kita mengharapkan pengundi dapat memilih parti yang lebih bercitrakan identiti Malaysia, bukan hanya terbatas untuk satu kaum.

Yang penting bukan hanya jaguh untuk bandar sahaja, malah merentasi segala ruang geografi untuk kestabilan. – 12 Ogos, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen