Dr Mahathir bersedia jawab tuduhan Halim Saad di mahkamah


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia untuk menjawab tuduhan Halim Saad di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan menerima notis berhubung tuntutan mahkamah yang difailkan oleh hartawan Halim Saad dan berkata bersedia untuk menjawab tuduhan itu di mahkamah

“Saya akan jawab tuduhan ini di mahkamah melalui peguam saya. Tiada apa saya perlu sembunyikan.

“Halim Saad juga dakwa dia tidak setuju dengan arahan itu tapi saya salahguna kuasa pada tahun 2001 untuk paksa dia lepaskan juga.

“Dia tuntut bahawa UEM dan Renong milik dia dan hak perlembagaan dia saya ketepikan. Dia mahu dibayar gantirugi dan pampasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim dilaporkan telah memfailkan saman minggu lepas terhadap Dr Mahathir, bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di mahkamah, Halim mendakwa Mahathir dan Nor Mohamed memaksanya untuk melepaskan pegangannya dalam kumpulan Renong-UEM dan hak yang diberikan kepadanya tanpa pampasan yang mencukupi 22 tahun lalu.

Halim berkata pengambilalihan itu menjejaskan 372 juta saham dalam Renong dan Dr Mahathir dan Nor Mohamed adalah sebahagian daripada pengambilalihan itu.

Halim berkata saham itu adalah miliknya dan bukan Umno di mana pada masa itu syarikat itu memegang 37.92% kepentingan dalam UEM.

Beliau mahu membuat tawaran am untuk UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong untuk menswastakan sebagai anak syarikat Renong.

“Plaintif bagaimanapun diarahkan oleh Dr Mahathir, melalui Nor Mohamed untuk tidak meneruskan tawaran am yang dimaksudkan seperti yang dikehendaki kerajaan dan sebaliknya untuk memperoleh semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan Khazanah Nasional Bhd atau pihak yang ingin mencalonkan.

“Selaras dengan ini plaintif juga diarahkan untuk keluar dari kedua-dua UEM dan Renong, kedua-duanya sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk daripada anak-anak syarikat syarikat tersebut,” katanya.

Halim berkata ini memerlukan beliau menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan dan akhirnya melupuskan saham Renongnya dengan kerugian.

Plaintif mendakwa walaupun menerima RM165 juta daripada Khazanah Nasional, ia tidak mewakili nilai sebenar hak miliknya dan saham Renong.

Halim berkata RM100 juta daripada RM165 juta itu adalah untuk membayar pampasan kepadanya kerana membayar RM100 juta kepada UEM untuk “Put Option” yang kemudiannya dikehendaki kerajaan untuk luput.

Beliau berkata baki RM65 juta itu adalah untuk membayar pampasan kerugiannya akibat perampasan pelbagai aset yang dicagarkan olehnya kepada pelbagai pembiaya bagi membiayai RM100 juta itu.

Halim mendakwa ketika dia bertemu Mahathir pada 23 April 2010, bekas perdana menteri itu memberitahu Halim bahawa saham Renong plaintif sebenarnya dimiliki oleh Umno, jadi kerajaan tidak melihat sebab untuk membayar pampasan kepadanya.

Antara tuntutan yang dipohon oleh Halim ialah pengisytiharan kerajaan bertanggungjawab untuk memberinya pampasan yang mencukupi untuk pengambilalihan itu. – 9 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen