Halim Saad tawar ambil alih lebuh raya Gamuda, Litrak


Ahli perniagaan Halim Saad dilapokan juga mahu membeli lebuh raya di bawah Gamuda Berhad dan Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad. – Gambar YouTube, 31 Oktober, 2019.

AHLI perniagaan Halim Saad yang sebelum ini membuat tawaran untuk mengambil alih PLUS Malaysia Berhad dilaporkan juga mahu membeli lebuh raya di bawah Gamuda Berhad dan Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak).

The Edge melaporkan, Halim, diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau (Dr Mahathir) menjadi perdana menteri pada 1980-an, mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya baru-baru ini.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut usul Halim itu diserahkan sebelum tarikh akhir yang jatuh pada hari ini kepada Kementerian Kewangan, Gamuda dan Litrak untuk memuktamadkan terma perjanjian bagi Putrajaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Menurut akhbar perniagaan itu berkata, sumber bagaimanapun tidak pasti sama ada usul turut dikemukakan kepada pemegang kepentingan syarikat konsesi tol.

Awal bulan ini, Halim dan seorang lagi ahli perniagaan, Wong Gian Kui menawarkan RM5.2 bilion untuk mengambil alih PLUS.

Tawaran untuk membeli 100% pegangan PLUS itu juga dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya. Khazanah Nasional Berhad memegang 51% saham PLUS, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 49%.

Khazanah baru-baru ini berkata ia tidak berminat untuk menjual pegangannya dalam PLUS kepada sektor swasta.

Tahun lalu, Halim menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd menghantar kertas cadangan kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian untuk menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) sebagai pemegang amanah lebuh raya, untuk mengambi alih semua jalan raya bertol di seluruh negara. – 31 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen