Ekonomi Madani: Parlimen asas kestabilan dan kemajuan negara


Fakhrurrazi Rashid

KETIKA Malaysia sedang menuju pemulihan ekonomi negara, elemen kestabilan merupakan aspek penting supaya usaha-usaha ke arah pembaharuan ekonomi dapat dilaksanakan dengan cermat dan lancar.

Persaingan politik yang kian sengit, diselit dengan pengalaman bertukar kerajaan dan perdana menteri dalam satu penggal telah memberi satu pengajaran besar buat rakyat dan negara untuk tidak mengambil risiko melampau dalam berpolitik sehingga kestabilan negara boleh tergugat.  

Tiada jalan pintas untuk memastikan kestabilan politik berpanjangan, kecuali pengukuhan kepada institusi awam, termasuklah Parlimen, dapat dilaksanakan agar ia mampu berfungsi dengan baik sewaktu rakyat berada dalam keadaan krisis.

Pendek kata, keberlangsungan ekonomi kini perlu mengambil kira pengukuhan sistem demokrasi berparlimen bagi menyokong kestabilan politik Malaysia.  

Masih ramai kabur akan hubungan antara ekonomi dan parlimen dalam soal pembangunan negara. Malah, Parlimen hanya dianggap sebagai institusi tunggal dalam politik tanpa memberi kesan kepada ekonomi negara. Pandangan janggal ini harus diubah dalam melihat kepentingan badan perundangan dalam mencorak ekonomi negara.

Selain membahas dan melulus undang-undang, parlimen adalah institusi penting untuk mengatasi perbezaan dalam membangunkan perancangan ekonomi negara demi membentuk keputusan secara kolektif.

Parlimen penentu kelancaran ekonomi

Di sinilah bermulanya peranan mengkaji kelemahan kerajaan dan pelaksanaannya agar setiap program dirancang sampai kepada rakyat. Ketirisan dan pemborosan wang negara juga akan ditegakkan di parlimen agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab melaksanakan tugasnya.

Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengangkat peranan parlimen dalam membangunkan ekonomi negara melalui naratif Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat yang dilancarkan pada 27 Julai lalu. Malah, komitmen ini menunjukkan ketegasan kerajaan perpaduan mengambil berat akan hubungannya dengan Parlimen dalam membina ekonomi secara bersama.

Menerusi Ekonomi Madani, Dewan Rakyat akan diberi peranan yang luas dalam menilai prestasi kerajaan persekutuan. Kesemua pengawasan ini akan diperkemas dengan penubuhan sistem jawatankuasa pilihan khas yang dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang meneliti pelaksanaan dasar dan keputusan kerajaan.  

Malah, pembaharuan besar Parlimen dapat dirasai apabila kehadiran perdana menteri menjawab pertanyaan dibangkitkan ahli parlimen dapat direalisasikan di bawah kerajaan perpaduan. Perubahan ini meletakkan asas yang tinggi kepada perdana menteri akan datang untuk menghormati institusi Parlimen dengan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Dari sudut yang berbeza, kerjasama badan eksekutif dan parlimen adalah simbolik kestabilan dan keutuhan di mata pelabur dan rakyat. Keberkesanan parlimen membahas dan membincangkan dasar ekonomi dalam soal pertumbuhan ekonomi, gaji, dan reformasi undang-undang tenaga buruh untuk memperbetulkan struktur ekonomi negara, akan memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.

Pindaan perlembagaan persekutuan mahupun negeri bagi menghalang wakil rakyat lompat parti dilihat sebagai satu perisai dalam menjaga mandat diberikan rakyat bagi memperkukuh kestabilan kerajaan. Pembaharuan ini satu penawar bagi mengukuhkan kestabilan negara daripada dirobek pihak gila kuasa.

Masih bawa isu remeh dan ketidakstabilan

Malah, buat julung kalinya, perdana menteri sendiri mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat selepas pembentukan kerajaan perpaduan pada 19 Disember 2022 demi memastikan rakyat yakin akan keabsahan kerajaan yang dibentuk dan memadamkan permainan politik “cukup jumlah” dan “ada jumlah” yang meminggirkan mandat rakyat.  

Jika kita melihat pembaharuan ini secara mendalam, peranan parlimen berkembang dengan baik secara berperingkat-peringkat. Namun, tidak semua usaha ini dihargai sebahagian besar rakyat dan pemimpin negara, yang melihat Parlimen sebagai sebuah stadium perlawanan merebut kuasa dan teater untuk membina naratif yang tidak memberi sumbangan kepada pembangunan rakyat dan negara.  

Pasca PRU15 kita menyaksikan sebahagian ahli parlimen yang membangkitkan isu remeh seperti pemakaian jururawat dan manipulasi terhadap isu kaum dan agama, telah melebarkan lagi jurang parlimen dengan rakyat untuk membincangkan isu penting seperti ekonomi, gaji setimpal, dan menambah baik kesejahteraan hidup rakyat.  

Sejak lapan bulan lalu, rakyat disajikan dengan kesangsian dibawa pihak pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan dalam setiap perbahasan di dalam Parlimen. Malah, perbahasan ini menjadi bahan kempen di media sosial untuk menjatuhkan kerajaan pusat, khasnya sewaktu tempoh berkempen bagi pilihan raya negeri (PRN)12 Ogos.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mengulangi hasrat ingin menjatuhkan kerajaan perpaduan sewaktu berkempen dalam PRN. Akibatnya, naratif ini hanya membawa rakyat ke lembah kemarahan dan hilang percaya akan institusi pentadbiran, termasuklah Parlimen.  

Polemik ketidakstabilan ini menjadi penghalang besar kepada kerajaan perpaduan melaksanakan rancangan ekonomi yang perlu mengambil jangka masa panjang untuk pulih, khasnya selepas ekonomi negara masih lagi terkesan dengan Covid-19 dan kini berdepan dengan geopolitik dunia yang semakin rencam. Mana mungkin kerajaan perpaduan akan mampu melaksanakan segala pembaharuan jika setiap kali pembangkang memainkan sentimen untuk menjatuhkan kerajaan di Parlimen.

Hakikatnya, perbezaan ini dapat diatasi dengan baik jika semua pihak melihat kepentingan kerjasama dwipartisan di dalam parlimen.

Parlimen boleh menjadi simbol penyatuan negara yang boleh menjadi pemudah cara kepada kerajaan sedia ada melaksanakan dasar dengan pendekatan yang tepat dan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.  

Naratif Ekonomi Madani yang dilancarkan baru-baru ini adalah permulaan terbaik untuk pihak kerajaan perpaduan dan pembangkang melihat ke hadapan dalam soal pembangunan negara dan rakyat. 

Peranan parlimen sebagai badan semak kepada kerajaan perpaduan akan memberi banyak kesan positif kepada pelaksanaan dasar untuk rakyat.  

Walau apa pun yang berlaku pada 12 Ogos, usahlah wakil rakyat menggunakan kesempatan untuk menjatuhkan sesama sendiri. Negara perlukan sebuah institusi Parlimen yang dapat menyatukan pemimpin dan rakyat untuk membina negara yang lebih baik secara bersama untuk mendepani cabaran akan datang. – 9 Ogos, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen