JULAI disahkan sebagai bulan paling panas di Bumi, dengan suhu purata global mencecah 16.95 darjah Celsius, kata Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suhu itu 0.33 darjah lebih tinggi berbanding rekod pada bulan Julai 2019.
Selain itu, suhu lautan turut mencatatkan lebih tinggi berbanding yang pernah direkodkan.
“Kita baru sahaja menyaksikan suhu udara global dan suhu permukaan lautan global mencatatkan rekod baharu sepanjang masa pada bulan Julai.
“Rekod ini memberikan kesan buruk bagi manusia dan planet yang terdedah kepada kejadian ekstrem yang semakin kerap,” kata timbalan pengarah Copernicus,Samantha Burgess.
Hari paling panas di dunia setakat ini ialah pada 6 Julai 2023, dengan suhu purata global 17.08 darjah, menurut data.
Menurut Copernicus, suhu di atas daratan pada Julai adalah 0.72 darjah melebihi purata untuk tahun 1991 hingga 2020 di seluruh dunia dan 0.51 darjah lebih tinggi untuk suhu lautan kira-kira 10 meter di bawah permukaan.
Data Copernicus berdasarkan analisis yang dijana komputer yang merangkumi pengukuran daripada satelit, kapal, pesawat dan stesen cuaca di seluruh dunia. – Bernama, 9 Ogos, 2023.
Komen