Israel roboh sekolah rendah Palestin dibina EU


Rakyat Palestin hanya mampu membaling batu ke arah rejim Zionis yang menembakkan gas pemedih mata ke arah mereka ketika jentolak masuk ke perkampungan Jabbet al-Dhib berhampiran Bethlehem. – Gambar AFP, 7 Mei, 2023.

REJIM zionis merobohkan sebuah sekolah rendah Palestin di Tebing Barat dengan mendakwa tindakan itu dilakukan berikutan isu keselamatan di mana tindakan itu mendapat kritikan Kesatuan Eropah (EU) yang membiayai projek pembinaan sekolah berkenaan.

Rakyat Palestin hanya mampu membaling batu ke arah rejim Zionis yang menembakkan gas pemedih mata ke arah mereka ketika jentolak masuk ke perkampungan Jabbet al-Dhib berhampiran Bethlehem.

EU akui ‘terkejut’ dengan kehadiran rejim Zionis pada waktu subuh di tapak sekolah di mana Pihak Berkuasa Palestin berkata terdapat lima buah kelas untuk 45 pelajar di situ.

Karavan dan kelas yang dibina daripada kepingan timah itu dikosongkan sebelum dirobohkan, kata koresponden AFP.

Agensi Kementerian Pertahanan Israel COGAT yang menyelia hal ehwal awam di wilayah diduduki itu memberi tempoh dua bulan pada Mac lalu untuk mengosongkan sekolah itu susulan perintah mahkamah Baitulmaqdis.

Agensi itu mendakwa sekolah tersebut ‘dibina secara haram’ dan menimbulkan ‘bahaya terhadap keselamatan’.

Pegawai Menteri Pendidikan Palestin Ahmed Naser memberitahu AFP sekolah yang dirobohkan itu adalah bagi menggantikan sekolah lain yang dirobohkan Israel pada 2019.

Katanya, lokasi sekolah itu terpencing bagi menghalang ‘pemindahan dan pengusiran’ sambil mendakwa Israel ‘mahu merampas tanah itu’.

EU menggesa Israel ‘menghentikan semua perobohan dan pengusiran, yang hanya akan meningkatkan penderitaan penduduk Palestin dan meningkatkan lagi ketegangan yang sememangnya sudah tegang’.

“Merobohkan itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan perlu dihormati,” kata wakil EU dalam satu kenyataan.

COGAT dalam satu kenyataan kepada AFP berkata pihak berkuasa sudah cuba mengadakan sesi dialog dengan pemilik sekolah dan memetik jurutera yang menyatakan struktur sekolah itu diyakini boleh runtuh pada bila-bila masa. – AFP, 7 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen