Rundingan Serbia-Kosovo berakhir tanpa kejayaan


Josep Borrell bertemu Presiden Serbia Aleksandar Vučić dan Perdana Menteri Kosovo Albin Kurti secara berasingan di Brussels pada Khamis. – Gambar EPA, 23 Jun, 2023.

SIDANG kemuncak krisis yang diusahakan oleh Kesatuan Eropah (EU) antara Serbia dan Kosovo gagal mencapai kejayaan namun menunjukkan sedikit hasil, menurut diplomat tertinggi EU Josep Borrell, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Borrell bertemu Presiden Serbia Aleksandar Vučić dan Perdana Menteri Kosovo Albin Kurti secara berasingan di Brussels pada Khamis.

Beliau berkata selepas rundingan itu, kedua-dua pemimpin berkenaan bersetuju mengenai perlunya mengadakan pilihan raya baharu di empat majlis perbandaran Kosovo utara yang didiami masyarakat Serb.

“Kami bersetuju mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya awal serta mengenai modaliti dan cara melaksanakannya,” kata Borrell.

“Sekurang-kurangnya kami tahu cara untuk meneruskannya dan kami juga sudah mengenal pasti jalan ke hadapan, dan kedua-dua pihak perlu menunaikan komitmen mereka.”

Kosovo, sebagai contoh perlu menjawab dakwaan mengenai penderaan ke atas tahanan yang disyaki penjenayah ganas Serbia baru-baru ini, katanya.

Misi menegakkan kedaulatan Undang-undang EU di Kosovo juga harus memainkan ‘peranan yang lebih teguh’ dalam mengesahkan dakwaan itu.

Ketegangan antara Kosovo dan Serbia berlaku sejak berbulan-bulan.

Kosovo yang didominasi masyarakat Albania pada satu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada Serbia tetapi mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral pada tahun 2008.

Serbia, yang tidak mengiktiraf Kosovo sebagai negara merdeka, kerap mencetuskan ketegangan di bahagian utara negara itu yang didominasi penduduk Serb.

Tentera pengaman NATO di Kosovo diserang di utara pada akhir Mei, dengan berpuluh-puluh cedera di kedua-dua belah pihak dalam pertempuran yang tercetus berhubung pelantikan datuk bandar Albania di rantau itu.

Penduduk Serbia di Kosovo sebelum ini memboikot pilihan raya atas arahan Serbia. – Bernama, 23 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen