Sentimen Melayu-Islam PAS keterlaluan, kata pengundi Cina di Kuala Terengganu


Diyana Ibrahim

Pengundi Cina di Terengganu bimbang PAS akan jadi semakin ekstrem sehingga menafikan hak minoriti mereka di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

SENTIMEN Melayu-Islam yang dimainkan oleh PAS secara melampau menimbulkan rasa kurang senang hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, kata pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight ada kebimbangan dalam masyarakat Cina yang PAS akan jadi semakin ekstrem sehingga menafikan hak minoriti masyarakat Cina di negeri itu.

Seorang pengundi warga emas yang hanya mahu dikenali dengan nama Ooi berkata secara peribadi beliau tidak akan mengundi PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

“Orang Cina di sini (Terengganu) mula takut dengan PAS sebab nampak terlalu pentingkan Melayu, Islam. 

“Mereka takut akan jadi macam Kelantan… banyak peraturan yang turut terpakai kepada bukan Melayu, kalau tak ikut kena saman, buat kita rasa takut dengan PAS,” katanya.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berdaftar kaum Cina hanya lebih kurang 3% daripada keseluruhan pengundi di Terengganu..

Biarpun kecil, mereka dianggap penentu misalnya di kerusi negeri Bandar dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu, yang juga dipertandingkan semula Sabtu ini.

Kuala Terengganu mengundi semula selepas mahkamah membatalkan kemenangan calon PAS Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh bekas calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong.

Pada PRU15, Amzad menang dengan majoriti hampir 41,000 undi – menokok majoriti 14,773 undi yang diperolehinya pada PRU14.

Pengundi muda di Kuala Terengganu, Tan Kim Shing, 21, pula melihat pentadbiran PAS agak ke belakang kerana beliau tidak nampak ada usaha serius untuk memajukan kawasan kelahirannya iaitu Kampung Cina.

Kawasan itu terkenal sebagai tarikan pelancong namun potensinya tidak diterokai sepenuhnya oleh pentadbiran PAS dalam tempoh lima tahun lepas, katanya.

“Kalau kita tengok orang tempatan di sini banyak bergantung kepada sektor pelancongan seperti buka kedai makan, jadi ejen pelancongan ke pulau, jual barangan cenderahati.

“Sepatutnya diadakan lebih banyak program atau festival boleh dianjurkan yang boleh menarik lebih ramai pelancong selain penambahbaikan kebersihan dan infrastruktur,” katanya.

Tan yang pertama kali mengundi mengakui lebih berminat untuk menyokong calon Muda kerana agenda parti itu yang katanya selari dengan jiwanya.

Kerusi DUN Bandar ditandingi oleh Ketua Penerangan Muda Luqman Long bersama Armi Irzan Mohd daripada BN, mencabar penyandang DUN Bandar Ahmad Shah Muhamed daripada PAS.

Dalam pada itu, bekas Adun Bandar Toh Chin Yaw daripada MCA juga mendakwa ada sentimen penolakan pengundi Cina terhadap PAS.

Katanya, PAS hanya mahu mengangkat kepentingan Melayu-Islam sahaja tanpa mempedulikan hakikat penduduk negara ini berbilang kaum dan agama.

Beliau juga kesal kerana tiada parti politik yang meletakkan calon bukan Melayu bertanding di kawasan itu.

“Pengundi Cina di sini mahukan wakil rakyat bukan Melayu untuk mewakili suara mereka,” katanya.

Toh tidak menolak kemungkinan pengundi Cina tidak akan keluar mengundi di Kuala Terengganu kerana tidak melihat pilihan raya ini melibatkan kepentingan mereka.

“Muda boleh memecahkan undi di DUN Bandar ini, sebab sekarang ini pengundi sudah ada pilihan, dan Muda kita tahu berkongsi sasaran pengundi yang sama.

“Calon Muda mungkin boleh menarik undi protes cuma nak kata menang peluang mereka agak tipis,” katanya. – 9 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen