Terima pemimpin BN tak bermakna pengundi Cina undi parti, kata pemerhati


Khoo Gek San

BN menang 4 kerusi pada PRN Johor susulan sebahagian pengundi Cina yang kembali kepada BN dan ini membolehkan MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

MASYARAKAT Cina mula menunjukkan kesanggupan untuk melayan pemimpin Barisan Nasional (BN) tetapi ini tidak bermakna mereka akan mengundi gabungan itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pemerhati politik.

Mengambil contoh penerimaan terhadap kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada beberapa acara membabitkan masyarakat Cina, mereka berkata sedia menjemput Najib walaupun beliau diselubungi skandal rasuah, kerana Najib bukan ekstremis agama.

Presiden Hua Zhong Goh Tian Chuan berkata organisasi itu ada bersikap positif terhadap mana-mana ahli politik, selagi mereka beri perhatian terhadap isu dihadapi masyarakat Cina.

Mereka sepatutnya aktif berhubung dan berkomunikasi dengan masyarakat Cina, katanya.

Merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Najib, Goh berkata mereka menunjukkan perhatian terhadap masyarakat itu dengan berkomunikasi menerusi media sosial.

Malah katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga bersikap demikian.

“Kami mengalu-alukan perhatian terhadap masyarakat ini dan berharap mereka akan lebih kerap bergaul dengan kami, termasuk Najib,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Goh berkata berdasarkan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di mana BN menang 4- kerusi, ada sebahagian pengundi Cina yang kembali kepada BN.

Ini katanya, membolehkan MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, tetapi DAP masih dekat di hati masyarakat Cina.

“Sama ada pengundi Cina percaya kepada kepimpinan Najib pada masa lalu, itu adalah pandangan peribadi, saya tidak boleh komen.”

Masyarakat Cina membentuk 23% populasi dan berhak mendapat lebih banyak hak, kata Goh.

Perkara seperti pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dasar ekonomi Bumiputera dan pengajaran agama, perlu dikaji, katanya.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia, perkara ini perlu dilihat menerusi perundangan lebih baik dan dalam membuat dasar supaya ada rasa kekitaan yang lebih tinggi.”

Goh berkata beliau dan ahli Hua Zhong bersedia untuk bertemu menteri dan kementerian berkaitan untuk bertukar-tukar pendapat.

Penganalisis politik berkata bekas PM Najib Razak berjaya menunjukkan daya tarikan dan pengaruhnya ketika ke Pulau Pinang baru-baru ini. – Gambar Facebook, 31 Mac, 2022.

Najib bukan ekstremis agama

Penganalisis politik Dr Cheah See Kian berkata Najib berjaya menunjukkan daya tarikan dan pengaruhnya pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2.

Malah beliau lebih mendapat perhatian berbanding Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata Cheah.

Ketika ditanya adakah ini petanda pengundi Cina akan mengundi BN, Cheah berkata ramai yang sudah jemu dan letih dengan penipuan politik.

Berdasarkan kepada keputusan PRN Melaka dan Johor, pengundi Cina tidak mahu turut serta dalam pilihan raya secara aktif, katanya.

“Mereka akan cuba untuk tidak suka atau tidak suka Najib. Dia mahu ke Pulau Pinang, jadi mereka biarkan saja. Dia masih popular dan cuba untuk membuat kemunculan kembali.

“Masih terlalu awal untuk tentukan sama ada Cina akan undi Najib atau tidak,” kata Cheah.

Bercakap berkenaan potensi BN kembali ke Pulau Pinang, Cheah berkata kegagalan gabungan itu masih segar di minda pengundi di situ.

“Di Pulau Pinang, memang jelas pertarungan antara BN dan gerakan, tetapi tidak buat apa-apa yang menonjol, mereka hanya tunggu DAP buat silap supaya mereka dapat masuk.

“MCA dan Gerakan tampil dengan strategi lebih baik untuk memenangi undi Cina.”

Ketika BN berada dalam kerajaan, ia sering bercakap tentang ketuanan Melayu, dan ramai pengundi Cina menunggu sama ada keadaan sama akan berulang lagi, katanya. – 31 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen