Sejumlah RM471 juta bantuan IPG diagihkan kepada 217,090 pekebun kecil


IPG dilaksanakan sejak 2015 bertujuan bagi mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2023.

KERAJAAN mengagihkan sejumlah RM471 juta bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada 217,090 pekebun kecil getah di seluruh negara sejak September 2015 sehingga 31 Julai, 2023, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan (PHP) IPG bagi getah sekerap sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM2.70 sekilogram daripada RM2.50, dengan kelulusan peruntukan berjumlah RM350 juta.

IPG dilaksanakan sejak 2015 bertujuan bagi mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh.

“Mengambil kira pendapatan pekebun kecil yang terjejas dengan situasi harga getah yang rendah, kerajaan sedang memuktamadkan penambahbaikan mekanisma IPG yang lebih inklusif dan bersasar, khususnya untuk meningkatkan produktiviti pekebun kecil getah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LGM berkata kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif atau projek-projek berimpak tinggi yang sedia atau berpotensi dilaksanakan, khususnya dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah.

LGM menegaskan ia mengambil maklum akan keluhan pekebun kecil mengenai situasi harga getah semasa yang rendah, namun ia tidak mengawal atau menetapkan harga getah kerana tiada sebarang peruntukan bidang kuasa di dalam Akta LGM.

“Malahan, Thailand sebagai pengeluar utama getah dunia juga tidak dapat menentukan harga kerana harga ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran dunia,” katanya.

Jelasnya lagi, Malaysia, pada masa sekarang hanya mengeluarkan 3% daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia dan tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan harga.

“Menyedari cabaran-cabaran semasa ekonomi global, kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar serta strategi bagi meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara,” katanya.

Antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh LGM agar pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik termasuk jualan getah secara tender dalam talian (MyROL) dan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET). – Bernama, 3 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen