PELAJAR universiti menyambut baik cadangan Putrajaya untuk memperkenalkan semula kad diskaun pelajar bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight walaupun ia mungkin bukan langkah jangka panjang, ia melegakan pelajar daripada keluarga miskin.
Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata rundingan akan diadakan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung kad diskaun itu.
Sebelum ini, Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia diperkenalkan sebagai kad debit/ATM/diskaun untuk pelajar universiti, yang membolehkan mereka mendapat diskaun sehingga 60% untuk pelbagai produk.
Rania Florian John Modoit dari Universiti Malaya berkata inisiatif itu perlu diperluaskan.
“Ramai pelajar memuji Menu Rahmah, yang memberi tumpuan kepada hidangan tidak melebihi RM5 yang diperkenalkan kementerian dan rakan kongsinya untuk membantu komuniti B40. Kami percaya kejayaan yang dlihat bagi Menu Rahmah, sambutan yang kami jangka daripada kad pelajar ini juga positif.
“Hanya kerana ia rancangan jangka pendek tidak bermakna kita perlu mengabaikan ia sepenuhnya. Pada masa kini, ramai pelajar bergelut bukan sahaja dari segi (mendapatkan) latihan amali dan penempatan di kolej kediaman, tetapi juga dalam menampung perbelanjaan harian mereka seperti kemampuan untuk makan.
“Kami percaya inisiatif ini sejajar dengan matlamat bersama - untuk membantu pelajar memperbaiki kehidupan harian mereka di universiti,” kata pelajar undang-undang itu, yang juga setiausaha perancangan strategik badan pelajar UM.
Beliau berkata terdapat kekeliruan mengenai bagaimana kad diskaun itu akan digunakan.
“Sama ada ia boleh digunakan untuk membeli makanan atau barangan lain seperti buku teks masih memerlukan jawapan.
“Kami berharap kerajaan dapat menangani perkara kecil inisiatif ini dengan betul sebelum melaksanakannya untuk kepentingan terbaik pelajar,” katanya.
Senada dengan Rania ialah Syed Zuliqbal Syed Abd Halim dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau berkata universiti harus dibenarkan memulakan bank makanan untuk membantu lebih ramai pelajar.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat membebankan banyak pihak. Tetapi selain makanan, apa lagi yang pelajar boleh beli dengan kad diskaun?
“Bagi rancangan jangka panjang, mungkin lebih banyak bank makanan boleh diwujudkan di universiti supaya lebih ramai pelajar, bukan sahaja golongan miskin, boleh mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Tangani isu teras
Bagaimanapun, seorang ahli akademik tidak bersetuju dengan rancangan kementerian memperkenalkan semula kad diskaun dengan berkata ia bukan penyelesaian jangka panjang kepada kemiskinan pelajar.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pengenalan kad diskaun tidak akan menyelesaikan isu struktur di sebalik kemiskinan pelajar.
Isu struktur ini termasuk perbelanjaan seperti tuisyen, penginapan dan makanan, ketidakupayaan pelajar untuk bekerja semasa belajar, peluang pekerjaan yang terhad dan bergaji rendah, dan latihan amali yang wajib, selalunya tidak dibayar.
Williams berkata tanpa terlebih dahulu menangani isu struktur ini, kad diskaun berkemungkinan hanya memberi manfaat kepada vendor dan pembekal, termasuk pembekal kad dan syarikat kewangan.
Naib Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia Amal Hadaya Mohammad Sharifuddin menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada isu teras seperti tuisyen yang mahal, termasuk bayaran bagi latihan amali.
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut menggesa agar rancangan jangka panjang.
“Kami mengalu-alukan keputusan memperkenalkan semula kad diskaun untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebarang usaha untuk membantu pelajar miskin atau mana-mana pelajar amat dialu-alukan.
“Tetapi pada masa sama, kita memerlukan rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan isu atau isu ekonomi yang membebankan pelajar,” kata Amal.
Beliau berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan bagaimana inisiatif ini dapat membantu peniaga kecil dan sederhana, sambil menambah Putrajaya juga mesti menyediakan mekanisme yang jelas untuk diskaun itu.
“Kami belum dapat mengenal pasti bagaimana mekanisme kad diskaun pelajar ini akan dijalankan, sama ada meliputi semua barangan asas pelajar, kedai mana yang akan menerima inisiatif ini, berapa diskaun harga yang akan diberikan, dan sebagainya.
“Kita tidak mahu kebajikan pelajar sahaja dilindungi. Ada pihak lain yang menderita terutama usahawan kecil dan sederhana.”
Beliau berkata penguatkuasaan di setiap universiti mesti cekap bagi memastikan tiada penyalahgunaan. – 2 Julai, 2023.
Komen