Ekonomi Madani: Misi memperkasa rakyat


Fakhrurrazi Rashid

Ekonomi Madani memastikan rakyat dan negara berjalan seiring untuk sampai ke destinasi dan impian melihat pembangunan Malaysia terus rancak dan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2023.

PELANCARAN naratif Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat pada 27 Julai yang lalu boleh dilihat sebagai satu ketegasan Kerajaan Perpaduan untuk memperkemas struktur ekonomi Malaysia dengan dasar berdaya tahan demi menempuhi ketidaktentuan ekonomi yang kian dinamik.

Ekonomi Madani memberi satu mesej yang jelas – memastikan rakyat dan negara berjalan seiring untuk sampai ke destinasi dan impian melihat pembangunan Malaysia terus rancak dan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat.

Di tengah-tengah gelora politik Malaysia yang mempersoalkan hala tuju ekonomi Malaysia dengan memainkan sentimen emosi dan percubaan memendekkan hayat Kerajaan Persekutuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menampilkan komitmen untuk mereformasi struktur ekonomi Malaysia dalam aspek kemahiran, pasaran kerja, ekosistem perniagaan dan perancangan meningkatkan kadar gaji golongan pekerja.

Ekonomi Madani boleh dilihat sebagai satu penambahbaikkan kepada Belanjawan 2023 dan kerangka yang akan diterjemahkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Dari sisi yang lain ia boleh menjadi bayangan kepada intipati Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan nanti.

Naratif ini mengajak rakyat dan pemain industri  bersama-sama melakukan perubahan bertunjangkan kerja keras Kerajaan Perpaduan dalam satu tempoh penuh mencabar yang memerlukan banyak kerjasama dan kesebaran.

Tetapi segelintir pihak hanya mengetengahkan isu kononya naratif ini sekadar memenangi hati rakyat menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) dengan memberi insentif tunai termasuk bantuan kepada penjawat awam.

Zaman imbuhan Kerajaan kepada rakyat untuk pancing undi menyokong Keraajaa sudah berlalu.

Faktanya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan Barisan Nasional (BN) pun tidak mampu membantu BN untuk menjadi sebuah Kerajaan malah tersungkur di peringkat Pusat dan Negeri.

Sebenarnya banyak lagi perkara untuk rakyat dalam Ekonomi Madani selain bantuan berbentuk tunai yang boleh melicinkan transisi kepada negara berdaya saing dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Perubahan struktur ekonomi

Pertama, peruntukan RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya untuk meningkatkan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.

Ini satu tindakan tepat kerajaan untuk membantu lebih 90,000 orang anak muda yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tahun 2020.

Program ini dapat mengeluarkan anak muda daripada terperangkap dalam the race to the bottom di mana anak muda tidak berkemahiran terpaksa berebut pekerjaan bergaji rendah dan tidak mempunyai prospek kerjaya jangka panjang.

Kini, lebih ramai graduan berpendidikan tinggi juga terpaksa berebut pekerjaan di sektor berkemahiran rendah kerana tidak cukup kemahiran yang diminta industri atau jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi masih lagi rendah.

Dengan ada latihan kemahiran ini, ia juga dapat membantu belia bekerja di sektor p-hailing mencari pekerjaan yang lebih stabil demi meneruskan kehidupan bersama keluarga.

Kedua inisiatif Ekonomi Penjagaan dengan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dapat membantu kaum wanita di Malaysia kekal produktif dalam pasaran kerja dan kerjaya.

Perkara ini selari dengan sasaran jangka sederhana Kerajaan untuk meningkatkan  kadar wanita bekerja kepada 60%.

Matlamat ini amat realistik memandangakan wanita hari ini perlu membantu keluarga meneruskan kehidupan bermaruah dengan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Ia juga dapat memperkemas sistem sokongan kaum wanita dari sudut gaya hidup sihat dan seimbang di samping kesihatan mental yang kian penting.

Ketiga komitmen melaksanakan gaji progresif akan menyaksikan peralihan daripada pemberian upah minimum kepada peningkatan secara berperingkat.

Pendekatan ini dapat memastikan hasil ekonomi negara dapat dinikmati pekerja dengan gaji yang setimpal khususnya di dalam sektor yang bergaji rendah seperti perkhidmatan, runcit, dan pembersihan.

Model gaji progresif bakal menjadi pelengkap kepada sistem ekonomi manusiawi bagi memastikan rakyat menjalani kehidupan bermaruah dan mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi yang kian mencabar.

Perancangan melihat perubahan ini tidak akan lengkap tanpa dukungan rakyat yang harus memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda Ekonomi Madani.

Setiap peluang yang dibentangkan Kerajaan untuk menambah baik kemahiran dan mencipta persekitaran ekonomi berdaya tahan dalam tempoh jangka masa panjang harus disahut semua lapisan masyarakat.

Kebersamaan asas kekuatan

Polemik politik yang memainkan sentimen emosi melampau, sehingga mengabaikan perancangan ekonomi negara, hanya membawa rakyat kepada satu kesusahan kepada kesulitan yang lain.

Sebab itu, setiap perbezaan ini harus diselesaikan menggunakan pendekatan yang lebih efektif dan terbuka.

Jika terdapat penambahbaikkan yang perlu diisi dalam naratif Ekonomi Madani, peranan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Kewangan dan Ekonomi di peringkat Parlimen adalah penting sebagai badan semak dan imbang dalam meneliti setiap program yang dibentangkan dapat dilaksanakan secara telus dan benar-benar memberi impak kepada rakyat terbanyak.

Model ini lebih pragmatik, berasakan semangat dwipartisan di antara pihak Kerajaan dan Badan Perundangan melangkaui perbezaan politik kepartian.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga harus terbuka untuk mendengar pandangan daripada rakyat, industri, mahupun pihak pembangkang agar naratif Ekonomi Madani bukan sekadar perancangan statik dan “one-off” semata-mata.

Kerajaan dan rakyat perlu jalan seiring untuk sampai ke destinasi Malaysia yang berdaya tahan.

Semua pihak boleh berbeza pendapat dalam membahaskan idea mahupun pendekatan. Perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk Malaysia bangkit dan terus memacu ekonomi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Apa yang lebih mustahak adalah kebersamaan rakyat dan pihak industri memberi ruang kepada Kerajaan Perpaduan membuat reformasi ekonomi secara berperingkat. Usaha ini tidak akan berakhir dan semestinya tiada jalan pintas.

Jika tidak, maka ia akan memberi ruang yang begitu besar kepada sesetengah pihak memainkan sentimen emosi yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara, mengakibatkan kestabilan politik berlaku. – 3 Ogos, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen