Sepasang selipar Jepun di bulan Ramadan


Zaidel Baharuddin

SEWAKTU zaman saya belajar dulu kalau berbuka puasa di Jaya Jusco itu bolehlah dikatakan sebagai sesuatu yang istimewa, almaklumlah hidup sebagai pelajar kalau dalam bulan puasa itu setiap hari dapat berbuka selain daripada mi segera, kira kayalah tu.

Maka tersebutlah satu kisah pada suatu ketika dulu sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia dari fakulti kejuruteraan elektrik mempunyai sedikit wang tambahan untuk menyewa sebuah kereta kancil untuk berbuka puasa di Jaya Jusco Tebrau, yang mana ketika itu merupakan pusat beli-belah terbaru dan terbesar di persekitaran Johor Baru.

Merasalah kami makan di tempat berpenghawa dingin dan berjalan-jalan melihat baju raya. Macam biasa, kami makan di medan selera kemudian bingkas kami menuju ke surau mengerjakan solat maghrib. Satu perkara yang anda perlu tahu mengenai saya ketika itu adalah kasut kegemaran saya untuk berjalan-jalan ialah sepasang selipar getah jenama Bata, yang juga dikenali dengan nama samaran selipar Jepun, kerana ia ringan, selesa dan ketika itu Instagram belum lagi wujud maka kesedaran fesyen di kalangan pelajar universiti berada di tahap begitu rendah sekali.

Sampai di surau, setelah air sembahyang diambil dan solat dikerjakan, kami menuju ke pintu keluar. Tetapi terdetik perasaan hiba di dalam hati saya apabila melihat selipar kesayangan saya hilang.

“Aih… Selipar Jepun pun nak klepet ke apa? Gila sadis manusia zaman akhir ni!”

Namun, perasaan hiba itu bertukar menjadi amarah apabila melihat ada insan yang menggunakan selipar persendirian tanpa izin untuk mengambil air sembahyang. Habis basah selipar saya itu diselit dengan saki daki kaki orang yang tidak dikenali. Namun sebelum sempat amarah saya dipadamkan, sejurus saja selipar itu diloloskan daripada kaki lelaki yang tidak dikenali itu, satu lagi kaki yang tidak dikenali menyarung selipar berkenaan dan bingkas ke tempat wuduk.

Sememangnya apabila difikirkan semula hari ini, kalau pakai selipar Jepun ke surau atau masjid sudah pasti akan timbul salah faham yang ia selipar wakaf untuk digunakan sebagai wuduk, tetapi saya masih tetap marah ketika itu. Namun sebelum sempat fikiran saya melayang ke arah lain saya disapa rakan saya yang berkata, “Untung kau Del, banyak pahala engkau dapat, selipar kau berbakti dekat ramai orang dapat ambil wuduk”.

Kelu seribu bahasa saya dibuatnya, tidak terlintas di fikiran saya untuk melihat kejadian ini dari sudut berkenaan. Yalah, berpuasa kan mengajar erti pengorbanan dan apalah sangat mengorbankan selipar menjadi basah sedikit untuk memberi manfaat kepada orang lain jika dibandingkan dengan pengorbanan orang lain yang jauh lebih hebat dan sukar. Takat selipar pun dah nak berkira, apa guna berpuasa dan bersolat kalau perkara kecil pun tak boleh nak bersedekah?

Kisah yang berlaku lebih 10 tahun itu kembali terngiang di minda saya hari ini dan membuatkan saya terfikir sejenak. Kalau dilihat kembali kisah itu, saya nampaknya lebih mengutamakan ibadah daripada segi fizikal tetapi lupa aspek kerohaniannya.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita pada hari ini, masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang terlalu menekankan sifat fizikal ibadah itu tanpa penghayatan kerohanian. Sebagai contoh, kita sibuk menghafaz Al-Quran tanpa memahami apakah maksud dan erti ayat yang kita baca itu; kita sempitkan definisi ibadah itu sebagai ritual semata-mata; kita terlalu memberi fokus dengan mengira ibadah itu sebagai berapa banyak rakaat dibuat semasa terawih atau berapa juzuk ayat Al-Quran yang dibaca.

Kita terlalu sibuk untuk bersolat di masjid sehingga kita menyusahkan orang lain dengan menghalang lalu lintas; kita cukup terbuka hati menerima kehadiran ustaz dan imam dari tanah Arab tetapi kita menghina dan memandang serong pekerja asing yang juga sesama Islam yang tumpang berbuka di masjid kita.

Kita sibuk membicarakan mengenai dakwah, tetapi kita begitu sempit dan jumud dalam pergaulan dengan orang bukan Islam sehinggakan berbuka puasa bersama pun boleh jadi isu. Kalau berdakwah itu setakat memberi ceramah dalam masjid di kalangan masyarakat kita sendiri, setakat mana dakwah itu dapat pergi?

Mungkin tujuan saya terfikir perkara ini ialah kerana Ramadan pada tahun ini dilihat lebih mencabar buat orang di sekeliling saya termasuk diri saya sendiri secara peribadi. Sebagai seseorang yang biasa menghadiri jamuan makan dan program anjuran Ramadan pelbagai pihak, terdetik di hati saya adakah kita buat semua ini kerana benar-benar hendak berbuat ibadah atau sekadar memenuhi syarat anjuran aktiviti dan program di bulan ini bagi pihak agensi, syarikat atau parti politik kita.

Kita anjur program buka puasa yang meriah di bawah khemah besar, mengimport golongan asnaf dan anak yatim kerana mereka sebahagian aturcara majlis sedangkan bukankah lebih bermakna jika kita secara terus memberi bantuan kepada golongan yang betul-betul memerlukannya? Mungkin tujuan saya menulis ini sekadar peringatan buat diri saya dan pembaca sekalian, satu-satu ibadah atau sedekah itu jauh lebih bermakna jika ia membawa manfaat yang terus serta diselit dengan niat baik dan ikhlas.

Saya tahu Ramadan kali ini agak mencabar buat ramai, dari rakan yang kehilangan kerja di sektor O&G, sedang risau perbelanjaan raya keluarga, buat graduan universiti yang sukar mencari kerja dan peniaga kecil yang berusaha gigih menghadapi persaingan sengit; bersabarlah. Sesungguhnya walau sukar mana pun keadaan kita pada waktu ini, masih boleh lagi kita berbuat baik, bersedekah dan beramal mengikut kemampuan kita. Insya-Allah kalau niat itu baik dan tujuan ikhlas, biarpun nilainya kecil ia boleh membawa manfaat besar kepada orang lain walaupun sedekah itu hanyalah sepasang selipar Jepun. – 8 Jun, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen