Kebenaran akan terbukti, kata Malik Stream berhubung siasatan SPRM


Ahli perniagaan Abdul Malik Dasthigeer memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah. – Gambar Instagram, 28 Julai, 2023.

AHLI perniagaan terkenal, Abdul Malik Dasthigeer mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya untuk memberi keterangan tempoh hari.

Malik, yang juga lebih dikenali sebagai Malik Stream, ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

“Saya dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dan saya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya juga memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk siasatan kes itu dan akan terus menyalurkan maklumat berdasarkan keperluan siasatan SPRM,” katanya melalui satu video yang dimuatnaik ke akaun Facebook rasminya, “Dato Abdul Malik”.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya di media sosial, ahli keluarga dan rakan yang memohon doa demi keselamatannya sepanjang siasatan.

“Saya berterima kasih dan akan mengenang semua permintaan doa serta kasih sayang yang dipamerkan melalui media sosial.

“Mari kita sama-sama harapkan yang terbaik untuk kes ini dan kebenaran akan terbukti dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 24 Julai lalu, agensi antirasuah melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah, pada 24 Julai 2023 dengan penahanan Malik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

SPRM menyatakan sindiket itu dilumpuhkan hasil operasi pasukan petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia - Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Operasi ini besar-besaran dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

“Ahli perniagaan berkenaan dan sekutunya ditahan dan sejumlah wang tunai kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga disita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber, operasi yang diberi nama Op 82S merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara. 

Dalam operasi pada Isnin lalu itu, serbuan serentak telah dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan melibatkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

The Malaysian Insight difahamkan selain Malik, dua individu lagi ditahan dalam operasi khas berkenaan.

Malik juga terkenal kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan di Malaysia. – 28 Julai, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen