SPRM tahan penganjur konsert artis India


Kalidevi Mogan Kumarappa

Abdul Malik Dasthigeer, yang terkenal kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia, disiasat kerana didakwa memiliki kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat, kata sumber. – Gambar Instagram, 25 Julai 2023.

SEORANG ahli perniagaan yang terkenal kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan di Malaysia ditahan agensi antirasuah awal pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Abdul Malik Dasthigeer ditahan bersama seorang lagi rakan.

Malik dan rakannya dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya malam tadi sebelum ditahan. Kedua-duanya masih belum dibebaskan, kata sumber.

Katanya lagi, Malik disiasat kerana didakwa memiliki kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat.

Siasatan ketika ini tertumpu kepada dua kedai emas milik ahli perniagaan itu.

Malik, yang juga lebih dikenali sebagai Malik Stream, ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution. – 25 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen