SPRM pantau lebih ramai individu termasuk VIP, kata sumber


Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI antirasuah sedang memantau beberapa lagi individu termasuk orang kenamaan (VIP) susulan penahanan tiga individu termasuk ahli perniagaan bergelar “Datuk” menerusi Op 82S, Isnin lalu.

Sumber agensi itu berkata, sehingga Jumaat, sebanyak RM38.2 juta wang di dalam beberapa akaun milik ahli perniagaan berkenaan sudah dibekukan.

“Bagi membantu siasatan, kira-kira tiga premis kedai emas disyaki milik Datuk berkenaan juga diserbu dalam operasi sama.

“Kira-kira 24 orang saksi dirakam percakapan selain telefon bimbit dan jam tangan mewah milik ahli perniagaan itu juga turut dirampas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kata sumber, sehingga Jumaat keseluruhan aset yang dirampas daripada ahli perniagaan dan dua lagi rakan sekutunya membabitkan nilai RM211 juta.

Sumber turut menyatakan, ahli perniagaan itu dikesan mengelak cukai dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit setahun hasil perniagaan eksport dan import tembakau yang dijalankannya selain disyaki terlibat dalam penyeludupan bahan terlarang.

“Suspek kemudiannya disyaki membuka beberapa rangkaian perniagaan di bawah satu syarikat yang diasaskannya sejak 2020 bagi ‘membersihkan’ hasil yang diperolehnya melalui cara meragukan.

“Perniagaan utama yang dijalankan adalah dengan menerbitkan filem, perniagaan emas dan pengurup wang (money changer).

“Ahli perniagaan itu turut dipercayai akan melabur dengan membawa artis terkenal dari luar negara dengan tujuan mempromosi perniagaannya,” kata sumber.

Selain itu, katanya ahli perniagaan itu menggunakan perniagaan pengurup wang sebagai platform layering hasil daripada aktiviti haram itu.

The Malaysian Insight melaporkan semalam tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan menerusi operasi khas Op 82S Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia-Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai SPRM di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor pada Isnin lalu.

Sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM38 juta dirampas selain emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga disita.

Op 82S merupakan kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh peguam negara.

Operasi ini juga dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang mengesahkan penahanan tersebut menyatakan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967. – 28 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen