Siasatan kes KLIA baru enam hari, kata Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menempelak laporan media yang menyatakan tiada unsur rasuah dalam kes kekecohan di KLIA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati pengamal media supaya tidak mencetus sensasi siasatan berhubung isu kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, ia merujuk kepada satu laporan media tempatan hari ini yang mendakwa tiada elemen rasuah dalam siasatan kes itu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai kes itu, yang kini memasuki hari keenam siasatan.

“Media diharap tidak mensensasikan (isu kekecohan di KLIA) dengan memetik sumber tidak berkenaan… Ini (membuat kesimpulan kes) terlalu awal kerana (SPRM) baharu sahaja memulakan siasatan, terdapat saksi yang perlu kami panggil dan kumpulkan keterangan.

“Kami mahukan siasatan terperinci dan akhir nanti apabila selesai, kami akan kemukakan kepada Pendakwa Raya atau Peguam Negara… di situ baru boleh tentukan ada kes atau elemen (rasuah) atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kekecohan berlaku di KLIA membabitkan orang kenamaan yang dikatakan cuba ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke Malaysia sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.

Pada Rabu, Azam berkata pihaknya sudah merakam keterangan 14 individu termasuk dua wanita warga China serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, lapan pegawai Jabatan Imigresen dan beberapa saksi lain.

Beliau juga berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab menguruskan warga asing yang dikenakan perintah Not-To-Land (NTL).

“Kami mahu tahu pelaksanaan dalam mengendalikan NTL ini oleh mana-mana pihak yang diberi kebenaran,” katanya. – Bernama, 8 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen