PUTRAJAYA mesti menyediakan pelan tindakan menyeluruh bagi pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi merealisasikan manfaatnya dalam meningkatkan aktiviti ekonomi negara, kata sebuah institut penyelidikan hari ini.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata ini perlu, terutamanya apabila lebih ramai rakan pedagang bersedia untuk mengambil bahagian dan menerima CPTPP.
“Dengan penyertaan United Kingdom (UK) ke dalam CPTPP, negara anggota seperti Malaysia dapat mengembangkan pasaran di luar sempadan mereka.
“CPTPP akan memberi peluang kepada perniagaan tempatan kita. Tambahan pula, kita menganggapnya sebagai pencapaian penting yang Malaysia dapat rundingkan secara berkesan penghapusan tarif ke atas minyak sawit Malaysia sebanyak 12% pada tahun pertama kemasukannya dengan UK,” kata Pengarah Penyelidikan Ideas Dr Juita Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah penyertaan UK dalam perjanjian perdagangan itu merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan perdagangan.
Beliau juga berkata sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan, Malaysia mendapat manfaat yang ketara daripada peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan.
“Kemasukan UK baru-baru ini sebagai penandatangan terbaharu CPTPP adalah petunjuk jelas mengenai kepentingan pakatan perdagangan ini yang semakin meningkat di peringkat global,” kata Juita.
Beliau berkata dengan adanya UK, hubungan perdagangan boleh diperkukuh dari semasa ke semasa dan amalan terbaik dari UK serta negara anggota lain boleh menjadi panduan bagi Malaysia apabila ia melengkapkan proses pelaksanaannya dan menterjemah perjanjian itu kepada undang-undang dan garis panduan yang jelas pada masa akan datang.
Beliau menegaskan laporan Analisis Kos-Faedah yang dihasilkan pada 2022 menunjukkan ratifikasi Malaysia diunjurkan menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaburan meningkat sebanyak AS$56.5 bilion dan AS$112.3 bilion, sepanjang tempoh 2021 hingga 2030.
“Malaysia akan (juga) menikmati lebihan dagangan berterusan sebanyak AS$53.5 bilion pada 2030.
“Paling penting, ini diterjemahkan kepada keuntungan kebajikan yang signifikan bagi Malaysia, yang diunjurkan meningkat sebanyak AS$15.1 bilion pada 2030,” katanya.
CPTPP dianggap sebagai perjanjian perdagangan penting dengan implikasi signifikan bagi rantau Asia-Pasifik dan lebih daripada itu, mewakili perjanjian perdagangan bebas mega dengan 11 penandatangan, kesemuanya negara Asia-Pasifik yang secara kolektif menyumbang 13% daripada KDNK global.
Dengan pengurangan halangan perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam kalangan negara anggota, CPTPP menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran perdagangan lebih lancar dan bersepadu di rantau ini.
Perjanjian itu juga menetapkan kewajipan bersama dalam pelbagai isu, termasuk dasar alam sekitar, piawaian buruh, ekonomi digital, pelaburan dan peraturan makanan. – 28 Julai, 2023.
Komen