DEB masih tak berubah, perlu seimbang, kata ahli akademik


Ragananthini Vethasalam

Ahli akademik berkata adalah satu tindakan bunuh kerjaya politik jika mahu hapuskan dasar yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

DASAR Ekonomi Baru (DEB) telah membebankan negara namun ia mungkin terus kekal kerana sebarang usaha untuk hapuskannya bakal musnahkan kerjaya politik, kata ahli akademik dan pakar ekonomi.

Pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata pelbagai masalah dalam negara sekarang ini tidak dapat ditangani disebabkan DEB.

“Apa yang perlu dibuat, saya rasa, tukar perbualan tentang DEB berbanding berbincang mengenai perlu atau tidak DEB,” kata Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah pada webinar mengenai 50 tahun dasar itu.

Webinar tersebut dihoskan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bagi menerbitkan kertas kerja dasar bertajuk “The NEP beyond 50: Evaluating strengths and flaws, outlining a cohesive society”.

Jomo berkata demikian menjawab soalan moderator Meera Sivasothy sama ada DEB perlu ditarik balik atau dimansuhkan sama sekali.

Dalam pada itu Profesor Dr Sulochana Nair berkata DEB akan terus hidup, walaupun dalam bentuk atau acuan yang berbeza.

“Saya fikir DEB akan bersama kita untuk masa yang sangat lama.

“Orang Melayu dan Bumiputera lain kenal DEB sebagai penyelamat mereka dan sesetengah bukan Bumiputera berpendapat DEB adalah punca status sosioekonomi mereka,” kata Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Binary itu.

“Saya fikir DEB akan kekal untuk masa yang sangat lama tetapi ia mungkin tidak dipanggil DEB,” tambahnya.

Beliau berkata adalah tindakan bunuh kerjaya politik untuk hapuskan dasar yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ia adalah program kejuruteraan sosial untuk memartabatkan Melayu yang berada di belakang kumpulan etnik lain dari segi ekonomi dan sepatutnya bertahan untuk 20 tahun sehingga 1991.

Sulochana berkata ada segelintir orang bukan Bumiputera yang mungkin tidak begitu ambil berat tentang DEB kerana mereka tidak terjejas dengan kewujudannya malah masih boleh bertahan tanpanya.

Sementara itu, pengarang kertas dasar Dr Lee Hwok Aun, berkata Malaysia memerlukan paradigma padu yang berteraskan prinsip kesaksamaan dan keadilan untuk membantu semua yang miskin dan kurang bernasib baik.

Terdapat keperluan untuk satupadukan keperluan, identiti dan merit, katanya.

“Kita tidak rumuskan cara untuk seimbangkannya. Adakah kita beri akses kepada orang miskin, lalu bagaimana dengan merit?” soalnya.

Beliau memetik kemasukan universiti awam, di mana 10 peratus kuota bukan Bumiputera masih berkuatkuasa.

“Saya fikir, penting bagi Malaysia untuk membuka beberapa institusi monoetnik yang kini khusus untuk Bumiputera,” katanya. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen