Pampasan pekerja sumbang 32.4% KDNK


JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan pampasan pekerja di Malaysia meningkat 6.5% pada 2022, menyumbang sebanyak 32.4% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dalam satu kenyataan hari ini susulan penerbitan Statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kaedah Pendapatan bagi 2022, DOSM berkata KDNK Malaysia bagi 2022 dari segi nominal mencatatkan nilai sebanyak RM1.79 trilion, peningkatan 15.7% daripada 9.2% pada tahun sebelumnya.

Katanya, statistik pendapatan yang dijana daripada pengeluaran dalam ekonomi adalah terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Pampasan Pekerja (PP), Lebihan Kendalian Kasar (LKK) dan Cukai tolak Subsidi ke atas Pengeluaran dan Import (Cukai bersih).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan dalam KDNK didorong oleh pretasi LKK yang lebih tinggi berbanding PP.

Beliau berkata LKK berkembang 23.9% (2021: 14.0%), sementara PP meningkat 6.5% (2021: 2.7%).

Oleh itu, sumbangan PP terhadap KDNK menurun kepada 32.4% berbanding 35.1% pada 2021, manakala sumbangan LKK mengukuh kepada 67.0% (2021: 62.6%).

“Komponen selebihnya disumbangkan oleh cukai bersih iaitu 0.6% berbanding 2.3% daripada KDNK pada 2021,” katanya.

Ketua perangkawan itu berkata komponen PP, yang merangkumi saraan yang diterima oleh pekerja untuk perkhidmatan buruh yang disediakan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan, adalah dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Pampasan pekerja dalam sektor perkhidmatan berkembang 5.6% (2021: 1.7%), yang disokong oleh pertumbuhan yang lebih baik dalam semua subsektor, terutamanya perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

“Dalam sektor pembuatan, PP meningkat 8.6% (2021: 8.1%), disumbangkan oleh produk elektrik, elektronik dan optik. 

“Selain itu, PP dalam pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian menokok masing-masing sebanyak 9% (2021: -3.4%) dan 10.3% (2021: 5.1%),” katanya.

Sementara Mohd Uzir berkata PP dalam sektor pertanian pulih kepada 2.3% daripada penguncupan 1.4% pada 2021.

Beliau berkata sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan PP dengan sumbangan 62.2%, diikuti oleh sektor pembuatan yang mewakili 24.1%.

“Kedua-dua sektor ini menyumbang 86.3% daripada PP pada 2022. Selebihnya adalah daripada sektor pembinaan dan pertanian, masing-masing menyumbang 8.1% dan 3.6%.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian merangkumi 2.1% daripada PP pada 2022,” katanya.

Mohd Uzir berkata LKK meningkat 23.9% daripada 14.0% pada 2021, diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Katanya, LKK dalam sektor perkhidmatan meningkat ketara 20.7% (2021: 4.0%), didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

“LKK dalam sektor pembuatan terus berkembang kepada 26.2% (2021: 22.0%) berikutan peningkatan dalam kesemua subsektor terutamanya produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Sementara itu, LKK bagi sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meningkat 37.8% (2021: 0.6%) dan 47.9% (2021: 28.8%).

“Ini diikuti oleh LKK dalam sektor pertanian yang meningkat 10.2% daripada 38.8% pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dari segi sumbangan, Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan merangkumi sebahagian besar daripada keseluruhan LKK pada 2022 iaitu 50.0%, diikuti oleh sektor pembuatan, dengan sumbangan 23.5% daripada LKK.

Sektor perlombongan dan pengkuarian dan pertanian masing-masing menyumbang 13.3% dan 11.6%. Sementara itu, sektor pembinaan membentuk 1.6% daripada LKK pada 2022.

Beliau berkata pendapatan yang diterima oleh kerajaan dalam bentuk cukai bersih merekodkan penurunan dari segi sumbangan iaitu 0.6% daripada jumlah ekonomi yang dipengaruhi oleh pemberian subsidi yang lebih tinggi berbanding kutipan cukai ke atas pengeluaran dan import pada 2022.

“Cukai ke atas pengeluaran dan import meningkat 23.8%, manakala subsidi mencatatkan pertumbuhan mendadak 134.4% sebagai tindak balas kerajaan dalam meredakan tekanan inflasi dan usaha pemulihan ekonomi yang berterusan.

“Justeru, komponen cukai bersih terus menyusut 69.2% pada 2022, berbanding penurunan 7.4% pada 2021,” katanya.

Data menunjukkan berbanding dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Tenggara, iaitu Thailand, Filipina dan Singapura, Malaysia menyumbang LKK yang lebih besar kepada KDNK berbanding PP.

“Sebaliknya, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada dan beberapa negara Eropah menunjukkan sumbangan PP yang lebih besar berbanding LKK. PP membentuk lebih daripada 50.0% daripada KDNK di AS (53.0%), Kanada (50.6%), United Kingdom (52.9%) dan Jerman (52.3%),” kata Mohd Uzir. – Bernama, 26 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen