Pertumbuhan KDNK Vietnam perlahan


Ekonomi Vietnam pada suku pertama berkembang pada kadar kedua terendah dalam tempoh 12 tahun lepas. – Gambar EPA, 29 Mac, 2023.

EKONOMI Vietnam pada suku pertama berkembang pada kadar kedua terendah dalam tempoh 12 tahun lepas apabila permintaan global yang lemah menjejaskan eksport, data rasmi menunjukkan pada Rabu.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ialah 3.32% dalam tempoh Januari-Mac, turun berbanding 5.92% pada suku keempat dan 5.03% pada suku pertama tahun lalu, menurut Pejabat Perangkaan Am (GSO), lapor Xinhua.

Pemprosesan dan pembuatan, susut 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perkhidmatan, meningkat 6.7% dan pertanian naik 2.52%, menurut GSO.

“Ekonomi pada suku pertama telah mencapai perkembangan positif walaupun berdepan ketidaktentuan global,” kata ketua GSO Nguyen Thi Huong.

Eksport makanan laut menjunam 29% daripada setahun sebelumnya kepada AS$1.78 bilion pada suku tersebut, manakala eksport telefon pintar, antara penyumbang eksport terbesar negara, turun 15% kepada AS$13 bilion dolar.

Secara keseluruhan, eksport Vietnam pada suku pertama merosot 11.9% berbanding tahun sebelumnya kepada AS$79.2 bilion.

Pertumbuhan KDNK Vietnam, yang menghadapi halangan daripada kelembapan global, dijangka perlahan kepada 6.3% pada 2023, menurut Bank Dunia. – Bernama, 29 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen